Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Umno tidak pernah berbincang apatah lagi menjalin tahaluf siyasi (kolaborasi politik) bersama PAS.
Sebaliknya, Umno sedia berta’awun atau bantu membantu PAS memperkasakan Mahkamah Syariah kerana pada hakikatnya usaha itu bukan “pintu belakang” pelaksanaan hukum hudud.
Malah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad juga turut mengesahkan PAS dan Umno tidak mempunyai permuafakatan politik. Yang ada hanya penghayatan ta’awun demi kesejahteraan ummah.
“Kita harus membezakan antara tahaluf siyasi atau political collaboration dengan tabayyun, pemahaman yang dibuat PAS.
“Agenda PAS adalah untuk menterjemahkan semua agenda Islam demi kepentingan ummah. Mereka (PAS) melihat Umno telah banyak menjalankan usaha-usaha meletakkan Islam sebagai satu mercu tanda utama negara,” katanya.
Zahid berkata Umno mahupun PAS sedar parti masing-masing sudah melakukan pelbagai usaha untuk memelihara agama dan kepentingan ummah.
Ta’awun atau tabayyun PAS dengan Umno ialah merealisasikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dikenali sebagai RUU 355 demi penambahbaikan akta berkenaan.
Ini kerana kali terakhir pindaan dibuat ke atas akta berkenaan ialah 32 tahun lalu dan menurut kelaziman perundangan, penambahbaikan harus dilakukan dari masa ke masa agar ia sesuai dengan perkembangan zaman.
Bak pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa susuk dan kuasa Mahkamah Syariah sedia ada dikanunkan semasa zaman pemerintahan British lagi.
Bagaimanapun jika dibandingkan bidang hukuman Mahkamah Sivil, status kuasa Mahkamah Syariah tidak mencerminkan semangat undang-undang syariah itu sendiri.
Berikutan itu, demi kepentingan menterjemah dan menghayati syariat Islam keseluruhannya, kajian semula dan pindaan berhubung skala hukuman syariah haruslah dilakukan mengikut peredaran dan keperluan zaman.
Perkara ini penting kerana umat Islam berpegang pada hukum syariah yang ditetapkan oleh Allah dan ia tidak patut “disekat atau dikongkong” peraturan yang diperbuat manusia.
Usul memperkasa Mahkamah Syariah ini tuntas berkuatkuasa ke atas penganut Islam sahaja tidak menyekat serta mengganggu rakyat bukan Islam.
Amanah curiga ta'awun Umno-PAS
Namun malangnya ta’awun PAS-Umno ini dijadikan bahan senda gurau oleh parti-parti yang mendakwa berjuang atas nama “membawa rahmat pada sekalian alam”.
Ketika Umno dan PAS berta’awun supaya umat Islam Malaysia menikmati keindahan dan keadilan perundangan Allah, parti Amanah menyemai bibit keraguan terhadap usaha itu.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berhujah kecurigaan partinya terhadap ta’awun Umno-PAS adalah kerana “PAS bijak bermain tipu helah.”
"Kami kebanyakannya di depan ini (pemimpin) lebih kenal PAS macam mana. Tahu sangat 'kona' ikut mana, 'kona baring' yang letih kita nak ikut,” katanya.
Justeru beliau mencadangkan ahli Amanah berdoa supaya Allah ‘melembutkan hati pemimpin-pemimpin PAS’ agar kembali ke pangkuan Pakatan Harapan.
Anuar Tahir mendakwa, kerjasama politik di antara PAS dan Umno semakin ketara dan tidak menampakkan tanda PAS mahu kembali pada saf pembangkang.
"Saya harap janganlah meletak harapan terlalu tinggi supaya PAS menyertai kita bersama. Umno dan PAS ketika ini sudah dilamun angau percintaan,” ketika merasmikan Konvensyen Amanah Selangor minggu lalu.
Amanah yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, adalah golongan ‘profesional’ PAS yang kalah dalam pemilihan PAS 2015 pada 16 September tahun lalu.
Ia turut didokong oleh enam Ahli Parlimen yang menang atas tiket PAS pada PRU 2013.
Persoalannya, mengapakah Amanah begitu kritis ta’awun PAS-Umno? Apakah ia tidak faham konsep “tolong menolong” sesama Islam seharusnya melangkaui kepentingan politik sempit?
Atau, adakah Amanah cemburu bahawa kini ia masih belum berhasil menarik sokongan pengundi Melayu-Islam? Mungkinkah memburukkan ta’awun dan tabayyun ini dapat membantu melonjakkan kedudukan politiknya?
PKR senada dengan Amanah
Begitu juga dengan sebuah lagi parti majoriti Melayu, PKR, yang juga dilihat mengeruhkan pemikiran umat mengenai konsep ta’awun PAS-Umno.
Naib Presidennya, Rafizi Ramli menimbulkan keraguan umat terhadap keperluan menangguhkan proses pindaan RUU 355 itu dengan membuat suluhan dari kacamata politik semata-mata.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan Rafizi bahawa penangguhan penjelasan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ada kaitan dengan kepentingan Umno.
Katanya PAS tidak mahu gopoh kerana masih ramai yang tidak faham dan ragu terhadap RUU 355 lantas beliau memohon menangguhkan perbahasan ke sidang Parlimen, Mac tahun depan.
“Mereka nak tutup di situ dengan undi di Parlimen. Itu tidak boleh. Undi mereka tidak mewakili seluruh masyarakat Islam. Mereka tidak fikir kepentingan agama. Kepentingan politik mereka lebih tinggi daripada segala-galanya. Tetapi kita tidak begitu,” katanya.
Kini adalah jelas pemimpin pembangkang Islamlah yang lebih giat menggunakan pendekatan “menakut-nakutkan” rakyat bukan Islam di negara ini terhadap usaha memperkasakan syariat ini.
Rafizi berkata, pada awalnya beliau mahu menyokong RUU berkenaan tetapi melihatkan 'permainan' Umno ke atas PAS, beliau menyimpulkan penangguhan perbahasan akta itu ada kaitan dengan politik Umno.
Prasangka Amanah dan PKR serta beberapa pemimpin Islam dari Sabah dan Sarawak membayangkan banyak lagi usaha perlu dibuat demi “mengislamkan” pemikiran mereka dan dinasihati supaya jangan menjadikan Islam bahan politik.
PAS sudah belajar bahawa bertahaluf siyasi dengan pihak yang memusuhi Islam dan golongan mengaku muslim tetapi kontang ruh perjuangan Islam sudah dan boleh menjerut keberkatan perjuangannya.
“Biar Umno dan BN menjadikan pindaan RUU itu sebagai urusan kerajaan dan kita akan kemukakan sebagai undang-undang kerajaan kerana PAS telah memahaminya dan parti-parti lain memahaminya,” kata Zahid.
Ketika ditanya adakah sikap mesra antara Umno dan PAS ini akan menjejaskan sokongan kaum bukan Melayu kepada BN beliau berkata:
“Soalnya adalah komunikasi, penjelasan dan meletakkan usaha supaya mereka memahami perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan