Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam dikhuatiri akan membantah pindaan
terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976
(Akta 164) sekiranya bukan Islam berterusan menentang Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(RUU 355).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata masyarakat bukan
Islam perlu berlaku adil terhadap masyarakat Islam memandangkan pelbagai
hak dan kepentingan mereka dihormati selama ini.
"Kita kena adil, jangan ganggu hak orang Islam. Kita harap orang Islam juga tidak menyusahkan yang bukan Islam.
"Kalau mahu begitu (ganggu hak Islam), kita juga boleh cadangkan
pindaan Akta 164. Kita minta supaya yang ada kaitan dengan kepentingan
orang Islam iaitu RUU355 yang tidak ada kaitan dengan bukan Islam, tidak
diganggu. (Malah) kita akan berkompromi dalam isu-isu bukan Islam.
"Sekiranya RUU 355 diganggu, kita bimbang masyarakat Islam tidak setuju
dengan pindaan Akta 164 yang juga ada kaitan dengan bukan Islam,"
demikian menurut Takiyuddin di sidang media PAS bersama Parti Ikatan
Bangsa Malaysia (IKATAN) pagi tadi.
Reaksi itu diberikan Takiyuddin merujuk penentangan berterusan
masyarakat bukan Islam terhadap RUU 355 yang dibawa PAS di Dewan Rakyat
baru-baru ini.
Bagaimanapun pembentangan kali kedua oleh Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang ditangguh sehingga Mac depan, memandangkan masih ramai
yang tidak memahami usul yang dibawa parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan