shahbudindotcom
Rumusan
Husam Musa bahawa PRU 14 bakal diadakan sebelum Mac 2017 berikutan
tindakan Hadi Awang secara sukarela menangguhkan buat kali kedua usul
Akta 355 di Parlimen, memang ada kemunasabahannya dan tidak boleh
diabaikan begitu saja.
Pas
memerlukan usul itu tergantung bukan saja untuk mewajarkan kepada para
penyokongnya tentang keperluan ia kekal sebagai parti yang mesti
bertanding bersendirian atas nama Gagasan Sejahtera, bahkan juga untuk
kekal tidak bersama dengan parti-parti pembangkang lain yang di dalamnya
ada DAP dan Amanah.
Tetapi,
sama ada Pas sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar, bersendiriannya
mereka itu hanyalah bertujuan memberi kelebihan kepada UMNO dalam
pilihanraya akan datang.
UMNO
juga memerlukan usul itu tergantung untuk menunjukkan ia sedang bersama
dengan Pas dalam usaha memertabatkan Islam. Dengan demikian, Pas
diharapkan akan terus menjauhi parti-parti pembangkang lain, khususnya
PPBM dan PKR, untuk saling bekerjasama dalam formula satu lawan satu
menentang BN.
Tergantungnya
usul Hadi itu juga dapat menyelamatkan BN daripada berpecah.
Parti-parti komponen MCA, MIC, Gerakan, SUPP, PBS dan lain-lain sehingga
ini terus kekal menentang usul tersebut, malah beberapa pemimpin bukan
Melayu yang berada dalam kabinet telah pun berikrar untuk meletakkan
jawatan jika ia diluluskan.
Ketua
Menteri Sarawak, Adenan Satem turut mengeluarkan arahan agar semua Ahli
Parlimen BN menolak dan tidak mengundi usul Hadi itu.
Namun,
dengan ia tergantungnya di awang-awangan usul Hadi itu, tiada apa-apa
yang akan berlaku. Semua parti-parti komponen akan terus kekal bersama
BN dan tiada menteri yang meletak jawatan.
Yang
jelas untung ialah Najib, UMNO dan BN. Ia bermakna Pas dapat mereka
jinak dan gula-gulakan dan dalam masa yang sama BN tidak pula saling
berpecahan.
Sebab
itu, dengan tertangguhnya usul itu buat kali kedua sehingga sessi
Parlimen akan datang pada Mac 2017, adalah masuk akal bahawa PRU 14 akan
diadakan sebelum tarikh itu.
Jika
PRU 14 mahu diadakan selepas Mac 2017 pula, maka sudah tentulah sekali
lagi usul Akta 355 itu akan ditangguhkan buat kali ketiganya. Barangkali
nanti, ia akan menjadi usul yang paling kerap ditangguhkan.
Secara
logiknya, sukar untuk membayangkan bahawa UMNO sanggup membiarkan
dirinya bermasalah dengan komponen BN semata-mata kononnya untuk
sama-sama memartabatkan Islam, lebih-lebih lagi melalui usul yang
dibawa oleh Pas.
Usul
Akta 355 hanyalah helah politik untuk menang pilihanraya. Dengan Pas
bertanding sendirian yang bermakna membantu Najib dan UMNO secara tidak
langsung dan komponen BN tidak bermasalah, maka dengan keadaan itu,
mudahlah UMNO dan BN mengekalkan kuasanya.
Tetapi, selepas Najib menang PRU 14 nanti, apa jadi kepada usul Akta 355 itu?
Bolehkah
Hadi Awang dan Pas terus berharap usul itu akan diberi ruang untuk
dibentang, dibahas dan diundi untuk kelulusan selepas Najib, UMNO dan BN
menang PRU 14, apatah lagi jika menang selesa dua pertiga?
Atau
Pas hanya memikirkan untuk seronok sebelum pilihanraya dan mahu
membalas dendam kepada DAP dan Amanah saja, setelah kalah nanti mereka
akan kembali berkata, "perjuangan Pas bukan semata-mata untuk menang di
dunia, kemenangan di akhirat lebih utama."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan