HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 November 2016

Cucu lelaki Tunku Abdul Rahman pula bidas Baju Merah

MALAYSIAKINI



Seorang lagi cucu Tunku Abdul Rahman tampil mengecam pergerakan Baju Merah yang menggunakan imej datuknya sebagai bahan kempen anti BERSIH.

"Adalah memalu dan menyedihkan apabila saya dapati Baju Merah memakai ikon bapa kemerdekaan yang tercinta pada baju mereka.

"Sila sentiasa ingat, bahawa Tunku seorang yang cintakan keamanan, dan selalu berkata terdapat ruang bagi setiap kaum di negara ini," kata Tunku Muinuddin Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan gerakan Baju Merah yang diterajuinya menggunakan imej Tunku semasa melaungkan pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Penggunaan imej itu dikuathiri oleh sesetengah pihak, terutama di kalangan ahli keluarga Tunku yang mungkin memberi gambaran kononnya perdana menteri pertama negara itu menyokong tindakan Baju Merah yang didakwa bertindak ganas menyinggung perasaan bukan Melayu.

"Sentiasa ada ruang untuk rundingan dan bukannya turun ke jalanan hingga menyebabkan banyak gangguan dan kesusahan kepada orang ramai.

"Dia bukannya merah mahupun kuning, jadi saya harap namanya tidak diheret dengan cara seperti ini," kata Tunku Muinuddin yang juga adalah Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (PIBM).

Semalam, seorang lagi cucu almarhum, Tunku Munawirah Putra melabel Jamal sebagai loqlaq kerana menggunakan imej Tunku.

Loqlaq adalah perkataan atau dialek yang biasa digunakan oleh masyarakat sebelah utara di negara ini yang membawa maksud tidak senonoh.

"Oi Jamal hang nak buat apa dengan gambaq Tok aku tu. Haishh! Loqlaq," katanya menerusi tweet sambil meletakkan #BERSIH5.

Tiada ulasan: