HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2016

Allah Tentukan Tempat Kita Semua

CATATAN ringkas jarak jauh dari Bandar kecil Wanganui, New Zealand.

Membaca dari Internet, saya mendapat perkhabaran bahawa Naib Presiden Umno, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, berkata ahli Umno wajib setia kepada Presiden parti, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Dalilnya kerana “Allah telah menentukan beliau sebagai ketua mereka.”

Saya mohon maaf kalau pemahaman saya terhadap hujah Ahmad Zahid itu silap kerana sepanjang pengetahuan saya, setiap orang daripada kita manusia ditentukan tempatnya oleh Allah.

Allah menentukan Ahmad Zahid sebagai Naib Presiden Umno, Mohd Najib sebagai Presiden Umno dan Firaun sebagai Maharaja Mesir.

Tetapi kita semua tahu Firaun memperhambakan dan menzalimi Nabi Musa a.s serta umatnya.

Walaupun Allah menentukan Firaun sebagai Maharaja Mesir tetapi Allah membinasakannya dan menyelamatkan Nabi Musa serta kaumnya.

Saya andaikan pengetahuan agama Ahmad Zahid cukup dalam kerana dia belajar di sekolah menengah agama dan keluarganya dikatakan daripada orang baik-baik.

Jadi beliau tentu tahu ada banyak dalil dan cerita di dalam Al-Quran mengenai pemerintah kejam, zalim, rasuah, menipu dan mencuri akhirnya menjadi hina dan binasa.

Dan saya yakin banyak pembesar serta pengikut mereka dalam Umno, hatta yang buruk pekertinya dan cabul mulutnya, sedikit sebanyak tahu cerita kekejaman serta kemusnahan Firaun dan pemimpin sepertinya.

Kita sering diingatkan kewajipan kita menentang keburukan dengan tangan (kuasa) dan kalau tak berdaya dengan mulut (kata-kata) dan akhir sekali dengan hati (niat).

Sekali lagi saya mohon maaf kalau pemahaman dan penakrifan saya terhadap dalil Ahmad Zahid silap.

Wallahuaklam. 

PS: Siapa lebih bahaya - MCA atau DAP? Baca di sini. Terima kasih. 

Tiada ulasan: