HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 November 2016

Bank dengan mesin ATM dan CDM wajib sedia pengawal keselamatan 24 jam

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan meminta Bank Negara mengarahkan semua bank yang mempunyai mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) supaya menyediakan perkhidmatan pegawal keselamatan 24 jam di premis berkenaan.
 
Timbalan perdana menteri berkata langkah tersebut susulan peningkatan kes samun pelanggan yang mengeluarkan wang daripada mesin ATM dan CDM serta penggunaan bahan letupan untuk memecah atau melarikan mesin tersebut.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Industri Kawalan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.
 
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Mustafa Ibrahim.
 
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, juga berkata mulai tahun depan semua pengawal keselamatan peribadi atau 'bodyguard' wajib menjalani latihan khas dan ditauliahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
Katanya, latihan itu diwujudkan bagi meningkatkan lagi kawal selia dan kualiti pengawal keselamatan peribadi di negara ini.
 
Latihan itu juga akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api bagi pengawal keselamatan peribadi pada setiap tahun, katanya.
 
"Langkah ini perlu diadakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi," katanya.
 
Dalam ada itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya bercadang membuka peluang kepada warganegara negara lain untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mengatasi kekurangan pengawal keselamatan dari Nepal.
 
Katanya, perkara tersebut akan diumumkan secara rasmi setelah Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing bermesyuarat nanti.
 
Sehingga kini, katanya, seramai 3,312 pengawal keselamatan Nepal telah berjaya dilatih menerusi program latihan 'Trained Nepalese Guard' (TNG) yang bermula Mei lepas.
 
Selain itu, katanya, Kursus Latihan Asas Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) pada tahun ini telah melatih seramai 17,153 pengawal keselamatan.
 
Jumlah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pengawal keselamatan yang menerima latihan CSG sebanyak 44,566 orang sejak diperkenalkan pada 2014, katanya.
 
 

Tiada ulasan: