Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Siapakah
pemenang dalam demonstrasi jalanan siri BERSIH Sabtu lalu? Bagi
penganjur, hakikat tiada porak peranda dan kekecohan yang boleh
memudaratkan keselamatan negara berlaku, ia telah mencapai matlamatnya.
Namun
harganya ialah, peneraju BERSIH 5, Maria Chin Abdullah, “direhatkan”
dari acara demokrasi gilang gemilang di bawah Akta Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) .
Turut dinafikan peluang beraksi dalam demonstrasi berkenaan ialah
pemimpin kumpulan baju merah, Datuk Jamal Yunos. Beliau direman empat
hari.
BERSIH
5 yang dilonjakkan semangatnya dengan kehadiran mantan perdana menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin, bangga dengan disiplin penyokong mengelak huru
hara.
Bagi mereka yang menang demokrasi. Mereka percaya tuntutan mahu
pilihanraya yang adil, telah sampai ke pengetahuan rakyat dan yakin
dunia pun sudah maklum keadaan politik di Malaysia.
Namun persoalannya ialah, adakah ini akan mengubah pemikiran dan amalan
demokrasi di Malaysia? Atau, dengan perkataan lain, adakah demonstrasi
BERSIH 5 berjaya menginsafkan rakyat bahawa amalan demokrasi di
Malaysia, buruk?
Jika ya, adakah diyakini bahawa dalam pilihanraya umum akan datang
dalam tempoh tidak sampai dua tahun lagi, kerajaan Umno-BN hari ini
pasti akan tumbang?
Pihak pelabur terjejas?
Selaras itu, adakah “kejayaan” BERSIH 5 ini akan membantu melonjakkan pendapatan perdagangan Malaysia?
Adakah dengan “kejayaan” BERSIH 5, lebih banyak pelabur luar akan
datang menanam modal di Malaysia kerani Malaysia dilihat sudah sama
taraf penghayatan dan amalan demokrasi dengan negara maju?
Namun pada masa sama pergerakan Baju Merah yang bersumpah mahu
menggagalkan demonstrasi BERSIH 5 kerana menganggap ia mencalar nama
baik negara dan boleh keselamatan negara juga mendakwa usaha mereka
berjaya.
Pertama, mereka mendakwa berhasil mengurangkan bilangan peserta BERSIH
5. Kedua, kehadiran mereka juga menggagalkan kemenangan simbolik BERSIH 5
untuk “menawan” Dataran Merdeka.
Hadiah yang mereka perolehi ialah pengganti ketua pergerakan Baju
Merah, Datuk Armand Azhar Abu Hanifah turut ditahan dalam “perjuangan
suci” memelihara maruah negara daripada dicemar BERSIH 5.
Tidak kurang mahu perhatian ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
yang dikatakan berjaya mengawal dan mengelakkan kedua-dua pihak – BERSIH
5 dan Baju Merah – tidak bertembung dan bertempur.
Polis mengerahkan 7,000 anggota, menutup 58 jalan utama, menahan 21
pemimpin kedua-dua pergerakan dan menangkap 4 orang lagi kerana cuba
melakukan provokasi terhadap saingan mereka supaya berlaku kekecohan.
Sebenar ketiga-tiga entiti itu memang ada hujah munasabah bagi mengukur
kejayaan mereka dalam demonstrasi BERSIH siri kelima ini.
BERSIH calar imej negara
BERSIH
5 berjaya menghimpunkah kira-kira 40,000 penyokong bagi meyakinkan
rakyat supaya jangan takut menyuarakan hak demokrasi mereka.
Bagaimanapun secara langsung mereka mencalar imej negara; merosakkan
aktiviti perniagaan di kawasan perhimpunan dan lebih malang lagi mereka
“menakutkan” pelabur asing untuk berdagang dengan aman di Malaysia.
Baju
Merah pula mungkin bangga dapat menzahirkan semangat patriotisme.
Bagaimanapun tidakkah mereka sedar tindakan itu menimbulkan persepsi
Malaysia sudah berpuak-puak dan mengundang keganasan demi politik?
Polis yakin campurtangan mereka berjaya menghindar kekecohan. Namun
mengapa biarkan negara diselimuti ketegangan sehingga hari demonstrasi?
Tidakkah sebagai pihak berkuasa keselamatan polis boleh membenarkan perhimpunan itu berlangsung tetapi di tempat yang tertutup?
Jika syarat pengeluaran lesen berhimpun ialah di stadium atau kawasan
lapang seperti Padang Merbok, sesiapa sahaja yang mengingkari ketetapan
boleh ditahan di bawah akta pencegahan.
Tidak
perlu membibitkan rasa ngeri di seluruh negara dan ketakutan persis
zaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang kerap digunakan
oleh Tun Mahathir suatu masa lalu.
Mengapakah diizinkan suasana gertak menggertak dan provokasi berlaku di
tempat awam? Polis tahu siapa di belakang gerakan BERSIH -- ahli-ahli
politik pembangkang dan ia pula mendapat biaya anasir luar.
Itu sudah cukup untuk dijadikan asas bertindak mencegah seperti menahan
penganjur yang degil yang hanya mahu mencapai markah dan kemenangan
politik. Tidakkah cara ini lebih ringkas, selamat dan munasabah?
Tangkap pemimpin cegah mudarat
Penahanan bukan untuk mendera tetapi untuk mencegah mudarat yang lebih
besar menimpa negara. Perimbangan di antara menggunakan diplomasi dan
ketegasan perlu digunakan oleh pihak berkuasa keselamatan.
Apapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berada di Lima Peru menghadiri sidang Ekonomi Asia Pasifik tanpa perlu bimbang peserta perhimpunan BERSIH 5 sudah mengambil alih pemerintahan di Putrajaya.
Akhirnya, kewarasan yang menang. BERSIH 5 bertekad dan berjaya mengelak
hasrat mereka menunjuk perasaan terhadap sistem politik negara
disalaherti dan mencetuskan sengketa.
Baju merah pula mungkin bangga ia berjaya “mendisiplinkan” BERSIH 5
supaya jangan bertindak memprovokasi seperti memijak gambar pemimpin dan
mengejek pemimpin dalam upacara agama.
Polis juga bangga dapat melaksanakan strategi mengawal darurat dengan berkesan.
Namun bukankah ada lebih baiknya jika ketiga-tiga pihak bertemu,
berbincang dan bersilaturrahim sebelum “tanggungjawab” menganjurkan
adegan “pelancongan politik” dilaksanakan dengan meriah dalam semangat
saling menghormati?
Mungkin kini tiba giliran Menteri Pelancongan, Nazri Aziz tampil
membentangkan idea menjadikan demonstrasi aman sebegini sebagai satu
agenda “pelancongan politik” di masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan