HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 November 2016

PAS angau bercinta, jangan harap kembali bersama PAKATAN, kata Anuar Tahir

Oleh Haizal Yatiran Post Pic
 SHAH ALAM: Seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengingatkan ahlinya supaya jangan meletakkan harapan besar PAS akan kembali bersama dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan.
 
Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir berkata, ini berikutan hubungan kerjasama politik di antara PAS dan Umno kini semakin ketara serta tidak menampakkan sebarang tanda parti itu mahu kembali bersama dengan pembangkang sedia ada.
 
Namun, sebagai pembangkang yang mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, beliau menggesa semua supaya terus berdoa agar PAS kembali kepada perjuangan asalnya melawan Umno.
 
"Saya harap janganlah meletak harapan terlalu tinggi supaya PAS menyertai kita bersama. Umno dan PAS ketika ini sudah dilamun angau percintaan.
 
"Janganlah mengharap sangat walaupun kita harus mendoakan supaya Allah melembutkan hari mereka.
 
Anuar berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor di sini hari ini.
 
Dalam ucapannya, Anuar turut mengingatkan bahawa PAS bijak bermain tipu helah.
 
"Saudara-saudari sekalian, kami kebanyakannya di depan ini (pemimpin) lebih kenal PAS macam mana. Tahu sangat 'kona' ikut mana, 'kona baring.' Yang letih kita nak ikut.
 
AMANAH yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu,  terdiri golongan ‘profesional’ PAS yang meninggalkan parti itu selepas kalah dalam pemilihan parti pada 2015.
 
Parti yang dilancarkan pada 16 September 2015 itu mempunyai enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menang atas tiket PAS pada PRU lalu.
 
PKR, salah satu anggota dalam Pakatan Rakyat, selain DAP serta AMANAH, dan parti baru tubuh, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sedang berusaha memujuk PAS untuk bersetuju mewujudkan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional pada PRU akan datang.
 
Namun usaha itu tidak mendapat sambutan kerana PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan AMANAH. 


Tiada ulasan: