HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 November 2016

Orang Asal sokong tahan pihak terbabit blockade

MUHAMMAD ARIF ISMAIL 


 


GUA MUSANG: Blockade yang dilakukan segelintir pihak sejak beberapa bulan lalu turut menjejaskan kehidupan masyarakat orang asal.

Sehubungan itu, mesyuarat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan petang tadi memutuskan supaya individu yang terlibat dalam sekatan di tiga lokasi ditangkap.

Lokasi yang terlibat dengan sekatan itu iaitu Hutan Simpan Kekal Balah, Hutan Simpan Kekal Perias dan Hutan Simpan Kekal Gunung Stong Selatan.

Jabatan Perhutanan menjelaskan operasi tersebut tidak memerlukan waran mahkamah, sebaliknya Akta Perhutanan Negara 1984 akan digunakan.

Bagi mengelakan kejadian yang tidak diingini termasuk pertumpahan darah, rundingan diteruskan sejak 3 Mac dan berakhir pada 20 November lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan (Operasi), Radhi Chu Abdullah berkata proses tersebut masih berlangsung sehingga minggu ini.

Beliau turut mengalu-alukan individu yang menjadi 'batu api' supaya hadir ke mahkamah bagi membela beberapa individu atau ketua setiap blockade.

Namun sehingga kini ada orang asal masih termakan dakyah Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan berkeras dengan pendirian mereka.

Radhi menyifatkan orang asal yang terlibat dengan blocked itu seperti 'kacang lupakan kulit' selepas pelbagai feadah serta manfaat diberikan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberi banyak kemudahan dan kebajikan agar golongan tersebut dapat hidup selesa.

"Namun blockade yang diadakan memperlihatkan segelintir masyarakat berkenaan memperkecilkan agensi kerajaan lain serta sumbangan wakil rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Penghulu Tanpa Mukim Orang Asli Dun Nenggiri, Juman Abak menyambut baik cadangan agar semua pihak terlibat ditangkap.

Menurutnya, orang asal berdepan pelbagai masalah sejak sekatan diadakan   kerana bekalan makanan serta perubatan terhalang.

Katanya juga penduduk yang terpengaruh beberapa NGO memandang serong terhadap peranan beliau kerana menyebelahi kerajaan negeri.

"Kami penghulu pun kena kutuk juga, makan gaji buta, terima rasuah dan fitnah kerana hadir pertemuan bersama Menteri Besar di Kota Bharu baru-baru ini.

"Biar pihak berkuasa membuat tangkapan kerana ia mengganggu ketenteraman penduduk lain," katanya yang turut hadir mesyuarat itu.

Pendapat yang sama diutarakan Penghulu Tanpa Mukim Orang Asli, Sudin Mat Nor yang menyerahkan 100 peratus kepada pihak bertanggunjawab.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja tidak membantu kerajaan negeri, bahkan turut melingkupkan semua jabatan yang terlibat memberi bantuan kepada orang asal.

"Perkara ini kalau tidak boleh selesaikan, ia akan terus melarat, kita pun tidak boleh buat apa-apa," jelas beliau.

Penghulu Tanpa Mukim Kampung Tuel, Halim Shariff berkata, majoriti penduduk orang asal menolak agenda yang dibawa NGO terbabit sehingga menyusahkan mereka.

Katanya juga, orang asal Kelantan menolak perhimpunan Bersih 5 baru-baru ini kerana dianggap tidak memberi manfaat.

Sebaliknya kata beliau lebih baik orang asal berusaha mencari pendapatan sendiri dan mengelakkan pergantungan bantuan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, kerajaan negeri memberi banyak kemudahan termasuk penanaman getah bagi menjana pendapatan sendiri. - HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: