Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: DAP mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Marang, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang meminda Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 bagi
perkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, pada saat-saat akhir, sebelum
dibentangkan hari ini.
Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke menimbulkan persoalan mengapa
PAS tidak daripada awal mencadangan had hukuman ke atas pesalah, dalam
RUU itu.
"Pendirian kami ia perlu dilihat secara lebih mendalam, termasuk apakah implikasinya.
"Kajian lebih mendalam adalah perlu memandangkan ia baru (pindaan).
Namun kita tegaskan ia mesti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,"
katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali pada
Rabu memberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil
Khir Baharom meminta pindaan dibuat pada RUU itu dengan menetapkan had
hukuman, bagi membolehkan ia dibentangkan di Parlimen pada Khamis (hari
ini).
Pindaan itu membabitkan peningkatan had hukuman penjara sehingga 30
tahun, peningkatan jumlah bayaran denda sehingga RM100,000 dan
peningkatan bilangan sebatan sehingga 100 kali.
Khairuddin berkata, PAS tidak memasukkan had hukuman itu sebelum ini
kerana beranggapan ia adalah bidang kuasa penggubal undang-undang
peringkat negeri iaitu DUN masing-masing.
Hadi hari ini selepas membentangkan RUU Persendirian itu bertindak
memohon kepada Speaker Parlimen untuk menangguh penjelasan pada sidang
akan datang memandangkan masih banyak kekeliruan bersabit pindaan itu.
Hadi bagaimanapun memberi amaran kepada ahli Parlimen bukan Islam agar
tidak menjadi 'ahok', merujuk kepada Gabenor DKI di Jakarta yang
menghina agama Islam sehingga menyaksikan bantahan jalanan besar-besaran
dilakukan di ibu kota negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan