HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2016

Kewangan UMNO buruk, bagaimana ia mampu bina ibu pejabat baru?

nga kor ming 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Cita-cita UMNO untuk membangunkan Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) sebagai Ibu Pejabat baru parti itu menimbulkan seribu satu persoalan.

Ia ekoran kos bagi projek pembangunan mega tersebut yang dijangka menelan perbelanjaan jutaan ringgit diumumkan meskipun laporan kewangan parti kaum Melayu terbesar itu berada di tahap yang tidak memuaskan.

Penolong Bendahari DAP, Nga Kor Ming berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini sambil memetik laporan portal berita, The Malaysian Insider yang disiarkan pada hujung tahun lepas mengenai kerugian hampir RM30 juta yang dihadapi UMNO.

Mengambil kira fakta itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Taping justeru menggesa supaya parti pemerintah berkenaan menjelaskan dana yang telah diterimanya untuk tujuan pembangunan tersebut bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalaman kerajaan.

“UMNO adalah parti terbesar yang memerintah. Ia menguasai segala kuasa dan sumber dalam kerajaan, justeru parti itu harus menerima penelitian daripada rakyat terbanyak, dan menjelaskan dana dan jumlah yang diterimanya demi menunjukkan ketelusannya,” ujarnya.

Beliau turut menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) agar turut menyiasat sumber kewangan parti tersebut.

Projek yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam itu merangkumi 70 tingkat pejabat, hotel dan sebuah masjid berkapasiti 5,000 jemaah serta dewan baru. Ia dijangka siap empat tahun daripada tarikh mula pembinaan, 11 Mei 2017.

Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah kos projek tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: