Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt
R. Supramaniam berkata sehubungan itu pihaknya telah mengarahkan 340
penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.
"Kesemua mereka diarahkan berpindah
sebelum pukul 1.45 petang ini. Setakat 11.45 pagi tadi, hanya 10 peratus
penduduk yang berpindah. Kami minta kerjasama penduduk agar akur dengan
arahan ini demi keselamatan mereka.
"Di sekolah ini, pegawai Jabatan
Kebajikan Masyarakat akan memainkan peranan menyediakan makanan kepada
mereka. Penduduk akan ditempatkan di sekolah ini sehingga proses baik
pulih selesai," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Menurut Supramaniam, sebanyak 64 unit rumah terjejas dalam insiden tanah runtuh itu yang berlaku kira-kira 1 pagi tadi.
Beliau berkata penduduk tidak perlu
merasa khuatir kerana anggota polis akan ditempatkan bagi mengawal
kediaman mereka yang ditinggalkan.
Orang ramai juga tidak dibenarkan berada di kawasan kejadian yang merangkumi radius seluas 600 meter itu, katanya.
Satu lencongan jalan baharu akan dibina segera untuk kegunaan penduduk, tambahnya.
Supramaniam berkata siasatan mendapati runtuhan tanah itu berpunca daripada pengaliran air bawah tanah yang deras.
"Hasil pemantauan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ia (tanah runtuh) bukan daripada air paip," katanya.
Supramaniam berkata operasi membaik
pulih serta memantau keadaan di lokasi kejadian disertai oleh pelbagai
agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan
Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang
penunggang motosikal yang dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, cedera
dipercayai mengalami patah tangan dan kaki dan dihantar ke Hospital
Selayang untuk rawatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah
Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul
ketika dihubungi Bernama berkata dalam kejadian itu, 10 buah kenderaan
yang diletakkan di tepi jalan dan sebuah gerai makan di kawasan tersebut
tercampak ke lereng bukit berdekatan.
Anggota Parlimen Hulu Selangor yang juga Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan turut melawat kawasan kejadian.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan