HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 November 2016

Syarat pertama kerjasama adalah Pas mesti memimpin, kata Hashim Jasin

MALAYSIA DATELINE
 
 
Para pemimpin Pas bergambar ramai dalam Retreat Pas Pusat di Tanjung Sepat semalam.Para pemimpin Pas bergambar ramai dalam Retreat Pas Pusat di Tanjung Sepat semalam.


Pemimpin tertinggi Pas, Hashim Jasin menegaskan, mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan Pas mestilah menerima Pas sebagai pemimpin.

Dalam satu kenyataannya Hashim yang merupakan Mursyidul Am Pas itu menegaskan, ia adalah syarat pertama kepada prinsip asas yang mesti menjadi panduan setiap kali cadangan melakukan kerjasama politik.

"Pertama, Islam hendaklah menjadi pemimpin dalam kerjasama politik. Tidak boleh sama sekali Islam dipimpin.

"Sesiapa yang mempunyai kecenderungan untuk bersama Pas, mesti menerima Pas sebagai pemimpin," tulis Hashim Jasin dalam kenyataan yang dibuat selepas 'Retreat Pas Pusat' di Tanjung Sepat, Selangor semalam itu.

Ini adalah kedua kalinya Hashim menegaskan pendirian Pas kepada mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan parti itu.

Kenyataan kali ini dibuat selepas Pas Pusat mengadakan mesyuarat dengan dihadiri oleh Hashim sendiri dan timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimana pun Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi tidak menyertai retreat Pas Pusat kali ini kerana baru saja keluar dari hospital dan masih berehat di Marang, Terengganu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamarudin Mohd Nor yakin pendirian Pas ini belum muktamad ketika Hashim membuat kenyataan buat pertama kalinya.

Hashim JasinHashim JasinMenurut Hashim, syarat kedua adalah, kerjasama mestilah dibuat atas dasar Islam.

Dasar-dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik, katanya.

"Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima “persepakatan” dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya.

"Tetapi kita tidak akan bertolak ansur untuk menggadai dasar Islam," katanya.

Yang ketiga, kata beliau, semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam.
Kerjasama yang terang-terangan merugikan Islam, mencabar kemuliaan Islam atau menentang Islam tidak akan wujud sama sekali, katanya.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, apabila kita mahu menjadikan tahaluf sebagai satu strategi politik, maka kita mesti memastikan ia berjalan mengikut landasan syariat.

"Tidak boleh kita berhujah semata-mata atas dasar “diluluskan oleh muktamar” kerana muktamar PAS sendiri adalah terikat dengan sumber hukum PAS iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan Qias.

"Segala keputusan muktamar Pas yang bercanggah dengan sumber hukum atau pelaksanaannya menyanggahi sumber hukum, maka ia adalah terbatal dengan sendirinya," katanya.

Dalam konteks ini, katanya, setiap ahli Pas mesti sedar bahawa tahaluf berdiri di atas beberapa syarat antaranya:

Membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.

Mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan.

Tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka.

Menurut Hashim, pengalaman Pas mengadakan tahaluf sejak 1973 telah mewarnai pendirian kita dalam tahaluf bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Pas telah bersama BN pada 1973 hingga 1977, Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 1986, Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996), Barisan Alternatif (1998-2008), Pakatan Rakyat (2008-2015), dan kini kita memimpin Gagasan Sejahtera untuk menyatukan kekuatan pembangkang mengikut prinsip tahaluf yang digariskan oleh Islam.

"Pas sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam," katanya.

Pas juga, katanya, boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam.

"Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam!" tegas Mursyidul Am Pas yang ke empat itu.

Tiada ulasan: