HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2016

Jangan perkotak-katikkan jasa Tun M

Rais Yatim
Rais Yatim
ALOR SETAR - Jasa Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap negara sepanjang 22 tahun mentadbir tidak wajar diperkotak-katikkan walaupun pemimpin itu kini tidak lagi sehaluan dengan kerajaan BN.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, selaku pemimpin lama yang banyak menabur jasa membangunkan negara ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, Mahathir harus dihormati bukannya dikecam.

“Kita perlu menghormati dan tidak wajar memburuk-burukkan pemimpin terdahulu. Walau apa pun yang berlaku Melayu mesti berpegang teguh pada prinsip mengenang budi. Ada caranya untuk kita berikan nasihat atau menegur,”  katanya, selepas majlis penyerahan siap kerja menaiktaraf galeri Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di Jalan Menteri, semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf.

Rais yang juga bekas menteri Kabinet berkata, sikap itu seharusnya kekal sepanjang masa namun semakin dilupakan akibat perbezaan pandangan.

“Setiap pemimpin itu memiliki aspek positif dan negatif, tiada manusia yang memimpin dengan sempurna namun jasa Mahathir tidak harus diperkotak-katikkan mana-mana pihak kerana ia terpalit dalam lipatan sejarah negara,” katanya.

Menurutnya, atas faktor itu, beliau perlu dihormati dan bukannya dihina.

“Hingga ada pihak cadangkan runtuhkan KLCC untuk menafikan sumbangan beliau ke atas monumen itu, itu kenyataan kebudak-budakan,” katanya.

Rais berkata, sekiranya politik Melayu sentiasa bertembung konflik akan menyebabkan kita tiada  masa untuk memikirkan kaedah terbaik membangunkan negara.

“Saya berani menyatakan, kita perlu lupakan konflik melibatkan Mahathir, sebaliknya rangka jalan baharu untuk fokus membina negara. Mana-mana pemimpin perlu dihormati, mungkin ada silap dalam personaliti masing-masing namun kita perlu akur,” katanya.

Bagaimana pun, katanya, pada masa sama, Mahathir juga harus muhasabah diri sama ada beliau telah melakukan sesuatu yang kurang disenangi, namun terpulang kepada beliau sama ada mahu berbuat demikian atau tidak.

Mengulas sama ada Mahathir menerapkan fear factor dalam pentadbirannya sehingga mewujudkan aura takut kalangan menteri kabinetnya, Rais mengakui ia berlaku dan perasaan hormat itu tetap ada selaku pemimpin nombor satu negara.

“Mungkin label itu disebut ketika dalam amarah atau emosi. Namun saya masih ingat, semua yang hadir dalam mesyuarat Kabinet termasuk saya dahulu, mahu pegang kepala lutut Mahathir pun gerun. Soalnya, kenapa dahulu hormat, sekarang tidak?,” katanya.

Rais berkata, sekalipun berbeza pandangan, adalah lebih baik kita akur pada pendapatnya berdasarkan sikap mengenang budi.

“Melentur buluh dengan budi lebih berkesan berbanding kekerasan, carilah cara! Jangan sampai merosakkan imej Melayu,” katanya


Tiada ulasan: