Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: Amanah mendakwa 'iman' PAS tidak dapat diwarisi daripada
tokoh utamanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga menyebabkan
parti itu tersasar jauh dari landasan.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan bekas Mursyidul Am PAS itu
seorang yang berpandangan jauh, baik dari segi urusan pentadbiran
kerajaan negeri, malah soal strategi politiknya bersama parti lawan.
Beliau turut memberi contoh bagaimana PAS kini 'seiring sejalan' dengan
Umno, satu perkara yang amat ditentang Nik Aziz ketika memimpin parti
suatu ketika dahulu.
"Nik Aziz seorang yang 'futuristik'. Pandangannya ke hadapan. Datuk
Husam Musa mungkin lebih tahu kerana sudah lama berdamping dengan tok
guru.
"Nabi Noh telah membina kapal kerana mendapat ilmu menerusi ilham dan
wahyu, bahawa akan berlakunya banjir besar. Dia membina kapal ketika
hujan belum turun lagi. Tetapi anaknya tak ikut.
"Iman itu tak dapat diwarisi, kita kena faham. Jika ada anak tak ikut
pandangan bapa atau sebagainya, kerana iman tak diwarisi. Malah
dikatakan pula, air baru naik sedikit, bukit ada lagi. Kemudian
dirasakan bukit semakin tenggelam, dikatakan pula gunung masih ada.
Dicari-cari kemudian jumpa Umno," sindir Mohamad ketika berucap di
Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.
PAS sebelum ini menjadi sasaran parti pembangkang yang lain selepas ia
beberapa kali 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN) bersabit
isu-isu sejagat.
Parti itu terus dihujani kritikan pembangkang selepas diberi laluan
oleh kerajaan Pusat untuk membentangkan usul persendirian bagi meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta
355.
Usul itu dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, 6 April lalu.
Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam pada itu menempelak
PAS kononnya parti itu kini tidak merasai keperihan yang dilalui
rakyat.
Mat Sabu kemudiannya mendakwa Amanah adalah satu-satunya perjuangan tulen yang diterjemahkan kepimpinan Nik Aziz.
"Ketiadaan Nik Aziz menyebabkan sedikit cempera, tetapi kita yakin
sebagai anak buahnya akan berusaha menterjemahkan pemikirannya,
tindakannya dalam tindakan kita," tegasnya lagi.
Beliau juga memuji pendekatan bekas menteri besar Kelantan itu yang
memimpin secara penuh hemah, termasuk cara menegur dan mengkritik.
Nik Aziz menurut Mat Sabu tidak akan sesekali memalukan sesiapa, jika orang tersebut melakukan kesilapan.
"Ada video beliau puji Mat Sabu. Tetapi apabila hendak tegur saya,
beliau akan panggil saya secara satu sama satu. Apa yang dikritik saya
tak mahu beritahu. Inilah sifat seorang pemimpin, apabila puji di
khalayak ramai, apabila hendak tegur panggil secara berdepan dan teguran
yang diberikan akan saya abadikan hingga akhir hayat," ujarnya.
Malah Mat Sabu mendakwa sikapnya merendah dirinya kepada pemimpin DAP adalah hasil pemerhatiannya daripada sikap Nik Aziz.
Mat Sabu merujuk tindakan Nik Aziz menziarahi bekas pengerusi DAP,
mendiang Karpal Singh ketika hari jadinya meskipun hubungan antara PAS
dan DAP ketika itu amat tegang selepas parti berkenaan hangat
membincangkan pelaksanaan hukuman hudud.
"Tetapi perkara sebegini Nik Aziz tak bincang, terus pergi dan keluar
surat khabar. Kita semua terpinga-pinga. Ketika itu batang tubuh Karpal
amat keras, minta kita langkah mayatnya dahulu kalau hendak laksana
hudud.
"Dalam keluarga Karpal, apabila kita tanya tentang Nik Aziz pasti
sebak, kerana mereka melihat seorang ulama berkunjung ke rumah. Apatah
lagi Nik Aziz bukan seorang yang menyambut hari jadi," kata Mat Sabu
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan