ANTARAPOS.COM
SIBU: "Ya Allah, Terima Kasih selamatkan kami," demikian luahan salah
seorang penumpang pesawat MH2718, Muhd Badrul Aman, yang terselamat
dalam insiden membabitkan pesawat berkenaan di Lapangan Terbang Sibu di
sini, malam tadi.
Malah, melalui akaun Facebook miliknya, beliau turut berkongsi
pengalamannya menempuh detik mencemaskan itu bersama 61 penumpang dan
enam anak kapal apabila pesawat itu tergelincir dari landasan sebelum
terbabas sejurus mendarat dalam hujan lebat.
"Syukur... semua selamat," katanya.
Beliau turut memuji kecekapan juruterbang, pembantu juruterbang dan
anak-anak kapal mengendalikan situasi cemas itu, termasuk memastikan
kesemua penumpang keluar dengan selamat serta mendapat bantuan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.17 malam tadi, sebuah pesawat MAS jenis
Boeing 737-800 dari Kuala Lumpur tergelincir dan terbabas sejurus
mendarat, dipercayai berpunca dari keadaan landasan yang licin akibat
hujan lebat.
Sehingga jam 12.30 malam tadi, landasan Lapangan Terbang Sibu ditutup
bagi memberi laluan kerja-kerja mengalihkan pesawat berkenaan dari
lokasi kejadian.
Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.
"Pesawat Malaysia Airlines dengan penerbangan MH2718 pada 8 April 2017
dari Kuala Lumpur terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada
10:17 malam ketika hujan lebat.
"Pesawat Boeing 737-800 itu membawa 61 penumpang dan enam krew.
"Kesemua penumpang dan krew di atas pesawat selamat dan dikeluarkan
melalui dua gelongsor angin. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini."
Tambah MAS lagi, mereka telah melancarkan siasatan untuk mengesan punca
insiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan