HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2020

Beza ketuanan Melayu - white supremacy: Pembangkang kata sama, PN kata lain

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Beberapa wakil rakyat Amanah hari ini menyamakan ketuanan Melayu dengan white supremacy dan memberi amaran bahawa sentimen tersebut boleh menyebabkan rusuhan kaum kelak.

Presiden Warisan Shafie Apdal juga menggesa orang Melayu supaya muhasabah diri dan tidak menyalahi kaum lain jika mereka berjaya.

Ketika membahasakan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu (PH- Kota Raja) berkata sentimen ketuanan putih yang disokong Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Beliau memberi amaran bahawa ketuanan Melayu juga boleh menyebabkan huru-hara sedemkian berlaku.

“Kalau kita pergi ke ketuanan Melayu, ia pergi kepada white supremacy. Sekarang kita tak lihat bahaya itu kerana ia di peringkat permulaan.

“Ia berlaku beratus tahun di Amerika Syarikat, kita lihat white supremacy bawa satu kancah,” katanya dalam perbahasan yang merujuk kepada protes Black Lives Matter di AS.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) mencelah dan berkata bahawa tidak tepat untuk membuat persamaan tersebut.

“Ketuanan Melayu dan white supremacy agak berbeza, apa yang disebut sebagai ketuanan Melayu hanyalah menyatakan hak-hak orang Melayu dalam perlembagaan tak lebih dari itu.

Mohamad - yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata dirinya bersetuju “100 peratus” tetapi memberi amaran kenyataan seperti umat Islam yang korup harus disokong, kerana mereka boleh bertaubat, sementara orang bukan Islam tidak boleh melakukannya.

“Ini adalah Assabiyah (rasis),” katanya.

Hal itu dilihat merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata bahawa orang Islam yang jahat boleh bertaubat namun mereka yang berbuat baik tetapi tidak beriman akan tetap ditolak pada hari akhirat.

Ini menimbulkan pertikaian kecil dengan Noh Omar (BN-Tanjong Karang), yang mengatakan presiden Amanah itu tidak boleh menyamakan orang Melayu dengan rasuah.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad kemudian tampil dan menegaskan bahawa ketuanan Melayu dan white supremacy adalah hal yang sama.

“Perlembagaan hanya menyatakan kedudukan istimewa orang Melayu, bukan ketuanan.

White supremacy dan ketuanan Melayu adalah sama, kerana bila ada tuan ada hamba abdi (dan) negara kita tiada hamba abdi.

“Semua agama semua bangsa diberi kedudukan tanpa menentukan satu lebih tinggi daripada yang lain. Semua ada hak,” kata Khalid.

Shafie (Warisan- Semporna) turut memberi amaran bahawa politik pecah belah yang digunakan Trump sangat berbahaya dan menggesa pemimpin tertentu supaya berhenti menggunakan isu kaum dan agama dalam politik.

“Kita kata mahu berjuang untuk Melayu, kita sudah berkuasa sejak 60 tahun di bawah BN, di mana yang salah?

“Kita nak salahkan Cina kerana mereka kaya? India kerana mereka jadi peguam?

“Kita kena lihat diri sendiri, apa sebab kita gagal dan betulkan untuk berjaya,” katanya.

Shahidan Kassim (BN- Arau) bagaimanapun berkata bahawa memperjuangkan hak Melayu bukannya menidakkan hak kaum lain.

“Kita tidak menafikan hak kaum lain, cuma kita mahu hak kita diperjuangkan, jadi tak timbul isu rasis,” katanya lagi.

Tiada ulasan: