HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2020

Keputusan Najib Bersalah, UMNO tentukan hala tuju kerajaan PN dalam masa terdekat kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran pihaknya akan membuat satu "keputusan politik besar" susulan keputusan kes mahkamah Najib Razak hari ini.

Zahid berkata demikian selepas mahkamah mendapati Najib bersalah dalam tujuh tuduhan termasuk salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

"Saya amat simpati dan berasa sedih bukan hanya sebagai seorang presiden Umno, yang paling penting, beliau adalah sahabat saya. Tapi ini bukan penghujung dunia.

"[...] Namun, tentunya kita akan mengambil sesuatu keputusan politik yang agak besar hasil daripada keputusan (mahkamah) yang dibuat hari ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Zahid juga meminta ahli parti agar "berlapang dada" terhadap keputusan yang dibuat oleh parti berhubung perkembangan kes Najib ini.

"Dan saya harap kita berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap apa juga keputusan yang akan dibuat oleh parti," katanya.

Dalam kenyataan berasingan di Facebook, Zahid meminta semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli parti serta penyokong bertenang.

Kata Zahid dalam kenyataan itu, pihaknya percaya Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara.

"Saya turut bersedih dengan keputusan ini dan yakin Najib seorang yang cekal dan tabah," katanya.
 
Citra baru
 
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan bahawa perkara yang berlaku hari ini sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar.

Jelasnya, pemuda Umno akan maju ke hadapan dengan "citra baru".

"Pemuda Umno akur dan menghormati keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International.
"Dalam masa yang sama, bagi Pemuda Umno, kami akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan yang masih belum selesai untuk membela kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara.

"Dengan menjadikan segala episod ini sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Najib hari ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tambah Asyraf berkata, walaupun Pemuda Umno sedih dan simpati dengan Najib, mereka menghormati kecekalan bekas presiden Umno itu.

"Pemuda (Umno) yakin Najib masih ada peluang dan ruang mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara hingga ke peringkat yang tertinggi.

"Pemuda Umno amat menghormati sifat cekal dan tabah Najib yang konsisten sejak daripada awal mahu membersihkan diri beliau melalui proses perundangan di mahkamah.

"...Dan keengganan beliau untuk tidak mahu mengheret parti dan rakyat dalam kes-kes pertuduhan yang dihadapinya," katanya lagi.

Najib hari ini disabitkan atas tujuh tuduhan - satu tuduhan penyalahgunaan kuasa, tiga pengubahan wang haram dan tiga lagi pecah amanah - berkaitan dengan dana SRC, yang merupakan bekas syarikat subsidiari 1MDB.

Tiada ulasan: