HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2020

Doakan Najib cekal, sejahtera – Asyraf Wajdi

Mohd Zaini Samsu Hadi
Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pejuang-pejuang dalam UMNO dinasihatkan agar terus mendoakan kecekalan dan kesejahteraan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan telah banyak berjasa kepada parti dan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dan menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan Ahli Parlimen Pekan bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International.

Katanya, walaupun mengakui bersedih dan bersimpati atas nasib bekas pemimpin nombor satu UMNO dan negara itu, namun, Pemuda UMNO yakin Najib masih ada peluang dan ruang mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara hingga ke peringkat yang tertinggi.

“Pemuda UMNO amat menghormati sifat cekal dan tabah Datuk Seri Najib yang konsisten sejak daripada awal mahu membersihkan diri beliau melalui proses perundangan di mahkamah dan keengganan beliau untuk tidak mahu mengheret parti dan rakyat dalam kes-kes pertuduhan yang dihadapinya.

“Justeru, Pemuda UMNO mengajak seluruh warga pejuang-pejuang parti untuk terus mendoakan kecekalan dan kesejahteraan Pemimpin yang banyak jasanya kepada parti dan negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama menurut Asyraf, Pemuda UMNO akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan yang masih belum selesai dalam membela kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara dan menjadikan segala episod tersebut sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Najib bersalah di atas  tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: