HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2020

Martabatkan Jawi bagus, jangan sampai bebankan peniaga kecil- ADUN DAP

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP Young Syefura Othman menegaskan DAP Pahang menyokong usaha untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi.

Bagaimanapun menurutnya, jika galakkan itu bersifat undang-undang maka kesannya perlu dilihat terutama terhadap golongan peniaga.

Jelas beliau, usaha memartabatkan Jawi adalah bagus namun ia tidak seharusnya sehingga membebankan peniaga kecil.

“Peniaga yang didapati ingkar akan dikenakan kompan sehingga RM250 bagi satu kesalahan dan sekiranya mereka masih enggan mematuhi tindakan pembatalan lesen akan dikenakan.

“Mahu martabatkan tulisan Jawi itu bagus tetapi jangan sampai membebankan peniaga-peniaga kecil. Semakan kehakiman ini juga sepatutnya dilakukan oleh pihak peniaga sendiri yang terkesan,” ciap Young Syefura di Twitternya.

Kelmarin, ADUN Tras dari DAP Chow Yu Hui memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Chow berkata permohonan itu difailkan oleh peguamnya, M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Katanya, permohonan itu untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaa, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.

“Ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan. Setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri.

“Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?” katanya seperti yang dilaporkan media.

Majlis Daerah Raub dinamakan sebagai responden pertama dan kerajaan Pahang sebagai responden kedua.

Hakim Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 28 Ogos untuk membut keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut atau tidak.

Kerajaan Pahang pimpinan Perikatan Nasional menguatkuasakan peraturan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di semua premis perniagaan di Pahang bermula 1 Januari tahun ini.

Pemilik premis yang didapati gagal mematuhi arahan terbabit akan dikompaun RM250 atas kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua pula, lesen perniagaan dibatalkan.-SM

Tiada ulasan: