HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2020

KEMASKINI: PH seru Sabah sokong Shafie, sekutu selepas YDP setuju bubar DUN

Pakatan Harapan berkata hanya rakyat mampu menewaskan rampasan kuasa
jahat dilancarkan bekas ketua menteri Musa Aman dengan sokongan Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hari ini menyeru rakyat Sabah menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal dan parti yang bersekutu dengannya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, selepas Yang di-Pertua Negeri bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama juga berkata gabungan itu menyokong penuh pembubaran segera DUN Sabah “bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela”.

Katanya, ia bagi menetapkan semula politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti, dan memulihkan mandat rakyat yang mana kuasa rakyatlah menjadi faktor penentu, berbanding kuasa wang ringgit.

“Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas ketua menteri Musa Aman, dengan sokongan penuh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin,” katanya.

Terdahulu, Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permohonannya, membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.

Perkembangan ini menyusuli dakwaan Musa semalam mengatakan beliau mempunyai sokongan secukupnya untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Dalama pada itu, PH mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Musa, Muhyiddin, Hamzah, Perikatan Nasional (PN) dan tawaran sehingga RM32 juta seorang serta jawatan timbalan ketua menteri.

PH menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Shafie dan kerajaan beliau bagi menentang cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat yang seterusnya menggalakkan pembelotan oportunis.

“Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini yang telah dicetuskan oleh anasir PN.

“Tambahan kepada itu, cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah usaha negara membendung wabak Covid-19 adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa,” katanya.

Tiada ulasan: