HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2020

Buat apa cabar saya? Cabarlah LHDN, kata Guan Eng

Muhammad Azizul Osman
MGF07112017_BANJIR-PENANG_PM_02-681x454
IMBAS. Datuk Seri Najib Razak bersama Lim Guan Eng satu masa dahulu.

KUALA LUMPUR – Biarpun sedang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung berkaitan siasatan kes terowong dasar laut, Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat sempat berbalas kenyataan di Twitter.

Setiausaha Agung DAP itu yang dipanggil buat hari ketiga hari ini berkata, cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk sesi penerangan live tentang beliau perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia, tidak perlu dilayan.

“Najib cabar saya untuk buat live pasal isu dia tak bayar cukai RM1.69 bilion. Buat apa cabar saya, cabarlah keputusan mahkamah dan LHDN,” katanya di Twitter hari ini.

Semalam, Najib mencabar Guan Eng untuk menerangkan tentang kenapa dana yang disebut RM2.6 bilion masih dikira sebagai pendapatan walaupun telah dikembalikan kepada penghantar 4 bulan kemudian.

“Dan lepas itu, ianya dikenakan denda penalti 10% + 5% pulak sehingga sampai ke RM1.7 bilion.

“Saya nak tanya dia jika ini satu bentuk salahguna kuasa kerajaan untuk menekan lawan politik dan siapa yang terlibat.

“Saya nak dia jelaskan kenapa permohonan saya kepada Panel rayuan cukai pada April 2019 untuk mempertikaikan tuntutan cukai ini tidak pernah dibenarkan walaupun ini adalah hak pembayar cukai di bawah akta cukai.

“Beranikah dia nafikan perkara-perkara di atas?, soal Najib.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Ia berikutan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap bekas perdana menteri itu bagi menuntut jumlah tunggakan berkenaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: