HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2020

Semoga Najib terhindar daripada musibah, khianat

Wartawan MalaysiaGazette
adli
Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Orang ramai dan para penyokong Datuk Seri Najib Razak diminta jangan terlalu kecewa sehingga melemparkan kata-kata penghinaan terhadap badan kehakiman, mahkamah dan hakim.

Undang-undang mengenai penghinaan kepada mahkamah di luar bilik mahkamah (Contempt Outside The Court) adalah terpakai kepada semua keadaan termasuk di media sosial dan Whatsapp.

Oleh itu, janganlah kita yang menyokong pula yang masuk penjara, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan.

Menurut beliau, memang benar, kejayaan UMNO membentuk kerajaan tidak sekali-kali memberi manfaat kepada Najib untuk kes beliau digugurkan seperti mana dibuat oleh kerajaan terdahulu.

”Sama-sama kita berdoa kemenangan berpihak kepada yang benar dan Najib terhindar dari musibah, dilindungi dari fitnah dan perbuatan khianat,” katanya yang mengulas reaksi orang ramai, ada yang kecewa, malah ada yang bersorak terhadap keputusan mahkamah semalam.

Tambah beliau, di peringkat rayuan ini, segala fakta yang telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi adalah terpakai.

Yang akan dipertikaikan hanyalah isu undang-undang, maka, mana-mana saksi yang gagal dipanggil oleh pihak pendakwaan tidak lagi boleh dikemukakan.

Saiful Adli berkata, rayuan akan melibatkan dua perkara pokok iaitu rayuan terhadap sabitan dan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Namun ramai juga terlupa kerama dalam tempoh 14 hari dari keputusan, pihak pendakwaan juga berhak mengemukakan rayuan silang (Cross Appeal) terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Mereka masih boleh merayu supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap Najib.

Jadi, peringkat rayuan bukanlah proses untuk memenangkan orang kena tuduh (OKT) semata-mata, tetapi juga boleh jadi penambahan hukuman lebih berat terhadap OKT.

”Justeru, ingin saya ingatkan kepada penyokong Najib dan penyokong parti agar menghormati keputusan mahkamah dan menghormati sistem kehakiman negara ini.

”Semua yang berlaku sejak pertuduhan dibuat adalah proses untuk mencari keadilan terhadap Najib.

”Kata-kata hikmah selalu kita dengar, berani kerana benar. Ya, begitulah Najib,” ujarnya.

Kepada pihak yang satu lagi pula janganlah bersorak berpesta meraikan keputusan kes semalam.

Perjalanan kes ini makin panjang, Sekurang-kurangnya dengan ribuan penyokong semalam, tiada gerakan reformasi dilancarkan ataupun sekurang-kurangnya tiada pelantikan rakyat sebagai hakim negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: