HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2020

Kerusi Parlimen Pekan belum boleh diisytihar kosong

NAJIB
KERUSI Parlimen Pekan masih belum diisytihar kosong walaupun keputusan Mahkamah Tinggi mendapati penyandangnya Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah.

Ini kerana, Peguambela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim, Mohd. Nazlan Mohd. Gazali bagi membawa kes skandal SRC International ke Mahkamah Rayuan.

Justeru, kerusi Parlimen Pekan masih belum boleh diisytihar kosong sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dikeluarkan.

“Jika keputusan Mahkamah Rayuan tidak berpihak kepada Najib sekali pun kerusi Pekan masih belum kosong kerana beliau boleh bawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Apabila keputusan Mahkamah Tinggi dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Persekutuan, kebenaran untuk stay akan diberikan. 


“Bermakna tiada hukuman akan dikenakan sehingga keputusan mahkamah yang tertinggi dibuat. Namun bergantung sama ada bersalah ataupun tidak.”

Demikian kenyataan peguam dan penganalisis politik Adnan Seman ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Presiden UMNO itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kesemua pertuduhan itu disabitkan ke atas beliau berhubung skandal SRC International Sdn. Bhd.
Mohd. Nazlan dalam alasan penghakimannya memaklumkan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam tuduhan pecah amanah. 


Selain itu, alasan kemasukan wang berjumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak dengan alasan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak logik.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee memaklumkan kepada hakim bahawa pihaknya akan membawa keputusan ke Mahkamah Rayuan.

Keputusan hari ini adalah sabitan pertama Ahli Parlimen Pekan itu yang berdepan puluhan pertuduhan lain dalam skandal syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Antara kes lain yang sedang dibicarakan ialah berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta milik SRC.

Najib Razak pada Julai tahun lalu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berhubung skandal tersebut.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger. 


Perbicaraan selama 94 hari itu menyaksikan 96 orang memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan. – SM

Tiada ulasan: