HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2020

Sabah berpilihan raya selepas YDP setuju bubar DUN

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menunjukkan surat perakuan YDP mempersetujui
permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini berkata Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri atas permohonannya, membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.

Perkembangan ini menyusuli dakwaan bekas ketua menteri Musa Aman semalam mengatakan beliau mempunyai sokongan secukupnya untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Melihat kepada perkembangan semasa, Shafie menegaskan beliau dari segi undang-undang berhak memohon pembubaran DUN walaupun berapa pun sokongan yang didakwa dimiliki pembangkang.

“Apa juga cerita – mereka pergi Istana, mahu angkat sana, angkat sini, ada jumlah sana, jumlah sini – Dewan sudah pun dibubarkan.”

Beliau juga menunjukkan kepada para penyokong yang berhimpun surat perakuan Juhar pagi tadi kepada permohonan yang dibuat semalam.

“Kita pulangkan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Semalam, Musa pada sidang media memaklumkan beliau menerima akuan berkanun daripada Adun dari pelbagai parti mengesahkan mereka menyertai suatu gabungan baru yang diketuainya.

Gabungan itu, katanya, akan merangkumi wakil rakyat daripada Umno, PPBM, STAR, PBS, PKR, DAP, Warisan, dan Upko.

“Langkah seterusnya ialah menemui gabenor Sabah dan menyerahkan SD daripada Adun kepada beliau,” kata Adun Sungai Sibuga itu.

Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan susulan penambahan 13 kerusi baru yang diluluskan Parlimen tahun lepas.

Warisan membentuk kerajaan di Sabah dengan sokongan daripada Pakatan Harapan susulan penghijrahan wakil rakyat Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2018.

Tiada ulasan: