KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) amat menyedihkan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris bagaimanapun berkata, keputusan itu bukanlah pengakhiran kepada perjuangan parti itu dalam menegakkan kebenaran.
“Sudah pastinya keputusan petang ini amat menyedihkan apabila Datuk Seri Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta.
“Namun, ini bukanlah pengakhiran kepada perjuangan kita dalam menegakkan kebenaran. Datuk Seri Najib akan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk penghakiman yang adil oleh panel tiga hakim.
“Jasa beliau terhadap pembangunan negara terlalu besar. Inilah pengorbanan seorang pemimpin yang wajar dicontohi. Naik tidak memijak lawan. Jatuh tidak menarik kawan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Najmil yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu turut mengingatkan pemimpian Pakatan Harapan (PH) agar jangan terlalu gembira sangat dengan keputusan mahkamah itu.
“Kes terowong dasar laut masih berjalan,” tegas beliau.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenakan syarat bahawa jumlah jaminan sebelum ini ditambah lagi RM1 juta dengan dua penjamin dibayar esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan