HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2020

PN mampu tawan Selangor jika bersatu, kata penganalisis

Seorang penganalisis berkata, PPBM dan sekutunya mungkin mempunyai kelebihan
di Selangor, selepas sokongan PKR berkurangan di negeri itu.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya terdiri daripada bekas pemimpin PKR perlu memperbaiki hubungan dan bekerjasama rapat dengan Umno serta PAS di Selangor, walaupun rekod prestasi lampau mereka yang cemerlang di negeri itu.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tidak dapat dinafikan Azmin, bekas menteri besar Selangor, dan sekutunya menunjukkan prestasi baik ketika mereka mentadbir negeri itu.

“Tetapi di Selangor, saya tidak menjangkakan ini akan menjadi faktor untuk menjejaskan sokongan bagi Pakatan Harapan kerena mereka turut mendapat manfaat daripada penyokong PKR, DAP dan Amanah.

Azmi Hassan

“Sekarang, tanpa sebuah parti, pengaruh kumpulan Azmin berkurangan dan ini bermakna mereka memerlukan bantuan Umno dan PAS,” katanya kepada FMT.

Azmin dan sekutunya meninggalkan PKR untuk menyokong pakatan PPBM-Umno-PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk pada Mac lalu selepas kejatuhan PH.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil memberi amaran kepada Azmin yang masa depan politiknya dalam bahaya, kecuali beliau berusaha memperbaiki hubungannya dengan Umno dan PAS.

“Tanpa sebuah parti, Azmin dan sekutunya akan dapati sukar untuk berunding pengagihan kerusi, apatah lagi mendapatkan sokongan, walaupun mereka mungkin bergabung dengan PPBM secara rasmi selepas pemilihan parti itu.

“Gabungan undi yang mereka boleh perolehi (Umno, PAS dan PPBM) cukup signifikan dan dengan PKR semakin lemah di negeri itu, Perikatan Nasional dapat merampas Selangor dengan mudah daripada Pakatan Harapan.”

Di Selangor, Azmi berkata, kekuatan PH kebanyakannya terletak pada DAP dan PKR. DAP mungkin dapat mempertahankan kerusi mereka, tetapi bukannya PKR.

“Tetapi, untuk PN merampas penguasaan di Selangor, mereka perlu bersatu serta kuat dan inilah kelemahan terbesar PN.”

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia juga sependapat, PN mampu memberi saingan di Selangor, jika mereka dapat menyelesaikan perbezaan masing-masing.

“Ia adalah persoalan siapa yang akan berkorban dan berkompromi dalam pakatan besar itu.”

Beliau berkata, Azmin dan sekutunya perlu mengukuhkan kedudukan mereka dalam PPBM, di mana mereka perlu membuat pakatan pilihan raya dengan Umno dan PPBM kerana kedua-dua parti itu mempunyai lebih banyak jentera mantap.

Tiada ulasan: