Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Redzuan Md Yusof menyangkal kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa Bersatu ada membuat permohonan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Redzuan berkata, sebaliknya Bersatu yang menerima jemputan untuk menyertai gabungan tersebut.
“Muhyiddin tidak pernah memohon menyertai MN, cuma di jemput oleh MN.
“Kenyataan Zahid tidak tepat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menjawab sama ada Muhyiddin akan menerima jemputan itu atau tidak, Redzuan berkata: "MPT Bersatu setuju untuk menerima dan memberi mandat (sertai) atas jemputan MN."
Terdahulu hari ini, sumber yang dipetik Malaysiakini berkata Bersatu setuju untuk menyertai MN, ketika pertemuan antara Muhyiddin dengan anggota Parlimen Umno dan PAS semalam.
"PM memberi komitmen kerjasama dengan Umno BN khususnya bagi menghadapi PRU15. Muhyiddin juga menyatakan yang Bersatu akan turut menyertai Muafakat Nasional. Ini bagi memudahkan urusan PRU15 nanti termasuk agihan kerusi," katanya.
Dalam sidang media hari ini, Zahid turut menyebut tentang pertemuan itu dan berkata Jawatankuasa Induk MN akan mempertimbangkannya.
Pada masa sama, Zahid juga berkata Umno telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi walaupun tetap menyokong kerajaan PN.
Redzuan berkata lagi, jemputan kepada Bersatu itu mungkin sebagai respons kepada rancangan Muhyiddin unguk membentuk PN secara rasmi.
“Jemputan mungkin mahu seimbangkan rancangan Muhyiddin untuk membentuk PN,” katanya.
Gabungan PN yang membentuk kerajaan pusat dianggotai oleh Bersatu, BN, PAS, sejumlah bekas anggota Parlimen PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa parti kecil lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan