HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2020

Tak perlu tiga warna untuk lambang halal – Hua Zong

MalaysiaGazette
logo-halal
Hua Zong tidak bersetuju cadangan supaya logo halal dikeluar dalam tiga warna.

PETALING JAYA – Pertukaran logo “Halal” dan mengkategorikan tahap berlainan mengikuti warna bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, ia juga mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan berharap kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan lambang halal itu yang sedang mengambil tempat di Internet.

Katanya, cadangan mengkategorikan “tahap halal” akan merosakkan imej Malaysia sebagai hab halal, malahan menjadikan Malaysia satu bahan gurauan di dunia.

“Hakikatnya, persijilan halal adalah perakuan ke atas satu-satu produk dan bukannya ke atas perusahaan yang mengeluarkan produk itu.

“Justeru, menggunakan tiga warna untuk mengkategorikan latar belakang perusahaan adalah tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Sinchew Daily.

Kenyataan itu sebagai mengulas sokongan netizen terhadap kempen Buy Muslim First yang mahu lambang Halal diasingkan kepada tiga jenis warna iaitu hijau, jingga dan ungu.

Warna hijau dicadangkan untuk perusahaan yang dimiliki 100 peratus oleh Muslim, jingga untuk perusahaan milikan bersama Muslim dan bukan Muslim, sementara ungu untuk perusahaan milikan penuh bukan Muslim.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem.

Katanya, peraturan mengenai perbezaan mengikut warna juga tidak wujud dalam pasaran antarabangsa.

Tambahnya, lambang dan warna lambang halal sedia ada telah diterima dan diperakui orang tidak kira di dalam atau luar negara dan tidak perlu menokok tambah sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: