TINDAKAN Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu menyamakan tindakan Nabi Muhammad SAW berhijah ke Madinah sebagai pelarian adalah sangat tidak wajar.
Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Universiti Sains Islam Malaysia Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukanlah menuntut perlindungan suaka politik seperti yang berlaku terhadap pelarian hari ini.
Sebalikya, penghijrahan Rasulullah SAW didahului dengan Bai’ah Aqabah iaitu perjanjian yang menyerahkan wewenang kuasa politik kepada Rasulullah SAW.
Ahmad Sanusi berkata, perpindahan kekuasaan pemerintahan itu dapat difahami daripada butiran dialog perjanjian yang diungkapkan sendiri oleh pemimpin Bani Salamah al-Barra bin Ma’rur.
“Perhatikan bagaimana kaum Ansar sendiri sudah menyerahkan janji setia untuk mengangkat Rasulullah sebagai pemimpin yang akan dipertahankan sebelum Baginda tiba di Madinah lagi.
“Begitu juga dengan hadis Jabir yang secara jelas mengangkat Rasulullah sebagai pemimpin yang menyatukan Aus dan Khazraj di Madinah. Ini semua tidak berlaku pada pelarian yang kita saksikan pada hari ini,” kata Ahmad Sanusi.
Menurutnya, penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah juga menyaksikan bagaimana seluruh warga Madinah menyambut baginda dengan penuh gembira dan alunan syair.
“Adakah suasana kegembiraan serta gegak gempita alunan syair seperti ini dialunkan ketika mana kita menyambut seorang pelarian yang turun dari sampannya di persisiran Langkawi? Sudah pasti jauh untuk dibandingkan sambutan Hijrah dengan ketibaan pelarian,: kata Ahmad Sanusi.
Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Kota Raja dalam perbahasan di Dewan Rakyat meminta setiap pihak supaya tidak ‘memborongkan’ atau menyamakan semua kategori pelarian dengan menolak serta menghina mereka khususnya golongan yang datang ke Malaysia akibat tekanan politik termasuk etnik Rohingya.
Bekas menteri pertahanan itu berkata, tidak semua pelarian harus dihina apatah lagi sejarah menunjukkan bahawa Islam sendiri ditegakkan oleh golongan pelarian termasuk Nabi Muhammad S.A.W sendiri ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah akibat penindasan.
“Pelarian ini kita kena ada kategori, jangan kita menghina semua pelarian, …jangan lupa Islam ditegakkan oleh para pelarian khasnya Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Musa ketika memimpin pelarian dari Mesir untuk diselamatkan daripada Firaun.
“Sebab itu, antara pelarian ini kita kena jaga jangan borongkan mereka sebagai sama, pelarian ekonomi, tekanan politik atau cari makan itu lain. Ada yang kata kena tenggelamkan mereka dilaut, …bayangkan itu kalau itu yang berlaku kepada keluarga Nabi.
“Justeru, kita kena melihat kategori pelarian itu jenis apa, …macam pelarian seperti Rohingya di mana rumah mereka dibakar, nyawa diancam kita kena membela sekurang-kurangnya (dengan mengadakan) penempatan sementara, ” katanya ketika membahaskan usul titah diraja, di Dewan Rakyat hari ini.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan