KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat yang bermesyuarat petang semalam juga telah melantik beberapa jawatankuasa yang menampilkan wajah-wajah baharu menganggotai barisan pimpinan tertinggi wanita dalam parti.
Nurin Aina, Ahli Parlimen Merbok telah dilantik sebagai Setiausaha Wanita Keadilan Pusat.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Fuziah Salleh,Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat yang baharu dilantik.
Turut dilantik Fadhlina Sidek sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti, Sivamalar a/p Genapathy pula selaku Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan.
Manakala Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan.
Loh Ker Chean dipilih sebagai Exco yang dilantik membarisi Majlis Pimpinan Wanita Pusat.
Selain dari itu, lapan orang Ketua Wanita Negeri turut diumumkan di dalam mesyuarat setelah melakukan Majlis Konsultasi bersama Ketua-ketua Wanita Cabang dan juga Pengerusi Majlis Pimpinan di negeri masing-masing, kata Nor Azrina dalam kenyataan di sini.
Rodziah Ismail secara konsensus telah dipilih sebagai Ketua Wanita Keadilan Selangor yang juga merupakan Adun Batu Tiga merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Rohaidah Mamat mengetuai Wanita KeadilanWilayah, Amni Idris (Negeri Sembilan), Naziratul Aini Muhamad Sayuty (Kelantan), Junaida Jamaludin (Perak), Napsiah Khamis@Maharan (Johor), Che Meriah Che Endut (Terengganu) dan Barirah Mokhtar (Pahang).
Berbaki enam negeri akan diumum kemudian.
Barisan pimpinan terbaharu ini bukan sahaja menampilkan beberapa wajah baru namun penggembelengan dari golongan muda dan juga dalam kalangan mereka yang berpengalaman berada dalam satu acuan pelbagai kaum.
Dalam pertemuan ini juga, selain menzahirkan kesatuan yang tiada berbelah bahagi, satu ketetapan secara bersama telah dicapai bahawa Wanita Keadilan terus bersiap siaga dalam apa jua keadaan.
Jentera wanita di seluruh negara akan d gerakkan bagi memastikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang secara sah dipilih oleh rakyat pada PRU ke 14 yang lalu kembali memerintah serta usaha mengangkat suara dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan