HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2020

Isu Shafie calon PM meresahkan PKR Sabah

Seorang pemimpin PKR Sabah berkata usaha menjadikan Presiden Warisan Shafie
Apdal (kiri) perdana menteri menyebabkan kedua-dua parti berselisih.

KUALA LUMPUR: Usaha menjadikan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri pembangkang dan bukannya Presiden PKR Anwar Ibrahim menyebabkan kedua-dua parti itu berselisih, kata Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin.

Beliau mendakwa kebanyakan ahli PKR di Sabah menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Ada yang melihat usaha menjadikan Shafie perdana menteri taktik memecah belahkan Pakatan Harapan,” tambahnya.

Beliau kecewa dengan Ketua PKR Sabah Christina Liew yang belum cukup terang mengenai siapa calon perdana menteri pilihannya.

Liew, yang juga timbalan ketua menteri, dilapor berkata beliau berbelah bagi antara Shafie dan Anwar.

Menurut laporan baru-baru ini, Liew dilapor berkata orang Sabah berbangga orang Malaysia Timur dapat menjadi perdana menteri, namun menambah, Anwar sentiasa merupakan calon perdana menteri PH.

Razeef berkata sentimen itu tidak dikongsi akar umbi PKR Sabah.

Malah, beliau mendakwa, akar umbi sekarang mempersoalkan kerjasama dengan Warisan dan berikutan itu, ramai menyarankan PKR menarik diri daripada kerajaan negeri kerana “Shafie secara jelas menolak presiden PKR”.

Razeef membidas Warisan kerana berterusan menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang dipersalahkan atas apa yang dikatakan Projek IC, suatu projek yang didakwa memberi kewarganegaraan kepada ribuan warga asing di Sabah.

“Ini pelik dan memalukan,” katanya. “Saya berani mengatakan Warisan akan kalah kerana tidak menyokong Anwar, yang masih berpegang kepada agenda reformasi.”

Penganalisis politik Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak percaya Warisan dan PKR masih masih boleh bekerjasama dan perlu kerana Sabah perlukan bersatu padu untuk mempertahankan kepentingan negeri itu.

“Warisan dan PKR akan rugi bila bertelagah,” katanya. “Tetapi isu calon perdana menteri ini menyebabkan penyokong Warisan dan PH resah.”

Beliau juga berkata sokongan berterusan kepada Mahathir, watak yang kontroversi di Sabah, memerisikokan Warisan.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata Warisan memerlukan PH pada pilihan raya, terutama di kawasan bandar dan separa bandar.

Namun, tambahnya, sama ada mereka boleh bekerjasama belum terjawab.

“Semakin nyata jurang antara Mahathir dan Anwar semakin luas, dan ini bermakna kerjasama pada pilihan raya akan datang, nampaknya semakin sukar.

“Saya percaya PH harus tumpu pada pilihan raya kilat dan bukannya cuba menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional dari kuasa melalui pembelotan.”

Tiada ulasan: