HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2020

Panggilan pilihan raya adalah langkah terakhir

Dr. Muzaffar Syah Mallow
MGF04072020_HARI-UNDI-PRK-CHINI48-681x454
Seorang petugas SPR dilihat mewarnakan dakwat di jari pengundi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2, Pahang. foto AFFAN FAUZI

Sebarang panggilan untuk melakukan proses pilihanraya awal dalam negara kita sama ada pilihanraya diperingkat persekutuan ataupun peringkat negeri perlu dilakukan sebagai langkah terakhir sekiranya tiada pilihan lain untuk dilakukan demi kestabilan politik dan sistem pentadbiran negara kita.

Ianya boleh dilakukan sekiranya negara secara keseluruhannya ataupun sesebuah negeri masih tidak memiliki sebuah kerajaan stabil mengikut Perlembagaan Persekutuan di peringkat pusat dan perlembagaan negeri – negeri di peringkat negeri.

Umum telah pun ketahui kemelut politik yang sedang dialami negara kita pada ketika ini dengan perubahan pucuk pimpinan negara diperingkat persekutuan beberapa bulan yang lalu.

Segala perubahan yang berlaku di peringkat Persekutuan ini juga telah menyebabkan perubahan politik turut juga berlaku diperingkat negeri yang melibatkan beberapa buah negeri.

Terdapat banyak cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak bagi menghentikan kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita sama ada diperingkat persekutuan ataupun diperingkat negeri, antara cadangan yang telah dikemukakan ialah dengan membentuk sebuah kerajaan minoriti, membentuk sebuah kerajaan perpaduan, serta membubarkan terus Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan kepada proses pilihanraya awal untuk dilakukan.

Langkah untuk membubarkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan kepada proses pilihanraya awal perlu dilihat sebagai langkah terakhir oleh semua pihak kerana implikasi besar yang boleh diberikan melaluinya kepada rakyat, ekonomi serta keadaan semasa yang sedang berlaku dalam negara kita pada ketika ini.

Di Malaysia, proses pembubaran Parlimen hanya melibatkan Dewan Rakyat dan tidak bagi Dewan Negara. Dewan Rakyat ini dibubarkan setelah mendapat perkenan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan selalunya dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia serta Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah 5 tahun.

Ini membawa maksud bahawa genap 5 tahun tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihanraya umum yang lepas, parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar dengan sendirinya. Namun pilihanraya awal boleh dipanggil sebelum tamatnya tempoh 5 tahun berkenaan. Ini jelas termaktub dibawah Perkara 55 (2), (3), dan (4) Perlembagaan Persekutuan. Proses yang sama juga untuk peringkat negeri – negeri dimana semuanya bergantung pada budi bicara serta perkenan daripada ketua negeri masing – masing iaitu DYMM Sultan, DYMM Raja, ataupun TYT Yang di-Pertua Negeri seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negeri masing – masing.

Persoalannya kini, apa kebaikan dan keburukan sekiranya kita mengembalikan mandat kepada rakyat serta melaksanakan proses pilihanraya awal sama ada diperingkat persekutuan ataupun diperingkat negeri – negeri. Untuk rekod, kita baru selesai menjalani proses pilihanraya umum pada bulan Mei 2018 yang lalu. Mengikut perlembagaan, kita masih memiliki tempoh lebih tiga tahun sebelum tarikh pilihanraya umum baru diadakan dalam negara kita.

Sama ada dengan adakan proses pilihanraya ini membawa kebaikan ataupun keburukan kepada kita semuanya bergantung pada keadaan semasa yang berlaku dalam negara kita. Sekiranya kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita ini sama ada diperingkat persekutuan ataupun diperingkat negeri masih berpanjangan berlaku, kita tidak memiliki pilihan lain selain daripada mengadakan proses pilihanraya awal bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru bagi mentadbir negara ataupun mana – mana negeri yang terlibat.

Perlu diingati, proses pilihanraya ini adalah satu perkara yang serius yang melibatkan banyak perkara. Pilihanraya bukan hanya sekadar membuang undi ke dalam kotak undi seperti yang dilakukan oleh para pengundi. Peruntukkan wang yang besar perlu dibelanjakan bagi menjalani proses pilihanraya.

Proses pilihanraya ini juga menuntut setiap rakyat yang layak untuk mengundi untuk meluangkan masa berharga mereka dan tenaga mereka untuk pergi mengundi. Keputusan yang diperolehi setelah selesai pengiraan mengundi juga boleh terdedah kepada risiko ketidakpuasan hati oleh mana – mana pihak terutamanya oleh pihak yang kalah sehingga boleh diheret ke dalam mahkamah selama bertahun – tahun. Proses panggilan pilihanraya awal ini juga boleh menghantar satu isyarat yang salah kepada ramai pihak khususnya pihak luar negara yang negara kita kini berada dalam keadaan tidak stabil sekaligus menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam negara kita dan mengugat keadaan ekonomi kita.

Pada masa yang sama juga, proses pilihanraya yang dibuat ini boleh menjejaskan fokus kita semua untuk membendung penularan penyakit berjangkit berbahaya Novel Koronavirus atau COVID-19 serta membantutkan usaha kita bagi memperbaiki keadaan ekonomi negara kita pada ketika ini yang sedang menghadapi impak teruk akibat daripada penularan COVID-19. Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat harus memikirkan dengan mendalam segala kesan akibat daripada panggilan pilihanraya awal ini khususnya terhadap rakyat, ekonomi dan negara kita.

*Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: