HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2020

Lagi pemimpin Umno zahirkan simpati terhadap Najib

MAALYSIAKINI

Malaysiakini

Lebih ramai pemimpin Umno menyatakan pandangan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, yang juga sepupu Najib, berkata beliau menerima keputusan mahkamah dengan perasaan bercampur baur, namun meminta semua pihak agar bertenang.

"Saya menerima keputusan mahkamah hari ini dengan perasaan bercampur baur.

"Walaupun keputusannya berat, namun saya kagum dengan ketabahan, kesabaran, dan kecekalan Datuk Seri Najib menghadapi ujian selama ini.

"Nasihat saya kepada semua, kekal bertenang dan jangan buat pendirian terburu-buru apatah lagi berlandaskan emosi," kata menteri pertahanan itu dalam satu kenyataan.

Hishamuddin berkata beliau percaya Najib akan membawa kes itu melalui proses rayuan.

"Peristiwa ini akan sesungguhnya mengubah dinamik parti.

"Saya harap kepimpinan Umno dapat membawa parti ke arah yang betul dengan meletakkan kepentingan parti, kerajaan dan negara sebagai keutamaan tertinggi," jelasnya.

Hormati keputusan mahkamah

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Wan Rosdy Wan Ismail pula meminta rakyat Malaysia agar menghormati keputusan mahkamah dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

Menteri Besar Pahang itu berkata masih terdapat ruang untuk Najib membela diri di peringkat mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan.

"Sememangnya kita simpati dengan nasib beliau, yang merupakan seorang pemimpin prihatin dan peka terhadap kebajikan rakyat Malaysia, ini jelas ditunjukkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam," katanya.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki juga berkata walaupun sayap pemuda itu sedih dengan apa yang berlaku kepada Najib, mereka yakin bekas presiden Umno itu masih ada peluang melalui proses perundangan negara sehingga ke peringkat tertinggi.

"Dalam masa yang sama, bagi Pemuda Umno, kami akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan yang masih belum selesai untuk membela kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara, dengan menjadikan segala episod ini sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar," katanya.

Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, dalam catatan di Instagramnya, mengatakan bapanya telah melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Dia berkata, ini dapat dilihat dalam klip video yang menunjukkan seorang wanita kurang upaya (OKU) melepaskan kekecewaannya di luar kompleks mahkamah hari ini, dengan mengatakan Najib telah membantu anak yatim, OKU dan juga ibu tunggal.

Najwa berkongsi klip tersebut dalam tulisannya dengan mengatakan: "Manusia mungkin menilai kamu dengan mata kasar tapi Allah tahu apa yang ada dalam hati. Dan Insyallah, Yang Maha Esa akan membimbingmu ke depan."

Terdahulu, pemimpin Umno lain termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Shahril Hamdan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyatakan pendapat mereka masing-masing mengenai keputusan itu.

Pada masa berita ini ditulis, beberapa pemimpin tertinggi Umno lain seperti naib presidennya, Ismail Sabri; Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dan anggota majlis tertinggi Umno Tajudin Abdul Rahman masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan tersebut.

Tiada ulasan: