TAPAH: UMNO Perak menyambut baik keputusan PKR untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Zolkafli Harun berkata, malah lebih baik jika tiada mana-mana parti lain yang bertanding dan memberikan kemenangan kepada UMNO.
Katanya, langkah itu adalah yang terbaik untuk rakyat berikutan jumlah kes pandemik Covid-19 semakin membimbangkan selain menjimatkan wang.
“Jika PKR atau mana-mana parti tak bertanding, lebih baik beri kemenangan percuma kepada UMNO dan BN.
“Banyak duit boleh dijimatkan dan kita boleh fokus untuk pilihan paya umum akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Daerah Batang Padang di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, parti itu tidak akan meletak calonnya dalam PRK Slim.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan semula kes Covid-19 dan tidak mahu membebankan rakyat yang keluar mengundi dengan terikat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
Zolkafli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri berkata, walaupun PKR tidak bertanding di Slim, gerak kerja UMNO untuk menghadapi PRK tersebut tetap berjalan seperti biasa.
“Sama ada berlaku pertandingan atau tidak, kita sudah atur strategi malah aktiviti pun sudah mula dibuat sejak semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan