HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2020

Kes Najib: Pas tetap bersama UMNO dalam Muafakat Nasional

Pas tetap akan bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional walau dalam apa juga situasi.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan komitmen tersebut selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pas yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

“Walau dalam apa keadaan sekalipun, Pas menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu turut melawat Najib di kediaman beliau malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS , Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dalam hantaran di Facebook, Najib menyifatkan mereka sebabagi sahabat sejati yang bersama ketika susah atau senang dan yang sentiasa mendoakan.

Menurut Najib beliau menghargai persahabatan yang ditunjukkan oleh pemimpin Pas yang dianggap sebagai anugerah Allah.

“Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang.

“Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang. Tetapi juga mereka yang sentiasa mendoakan kita.

“Sahabat yang sejati sukar ditemui. Jika di sisi, saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah SWT,” kata Najib.-SM

Tiada ulasan: