HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2020

'Jangan lupa, Islam juga ditegakkan oleh pelarian'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Susulan sentimen antiwarga asing, termasuk terhadap pelarian, presiden Amanah Mohamad Sabu mengingatkan bahawa tokoh-tokoh penting dalam Islam juga pernah menjadi pelarian.

Ini katanya, termasuk Nabi Muhammad, yang harus melarikan diri dari Makkah ke Madinah setelah hidup baginda terancam.

Mohamad juga menyebut Jaafar Abi Talib, yang memimpin sekumpulan umat Islam yang dianiaya keluar dari Makkah ke Ethiopia, untuk berlindung di kerajaan Kristian Aksum.

"Ada perkataan-perkataan buruk dikatakan (terhadap pelarian), ancam nyawa mereka.

"(Ketika mereka) datang ke sini, ada yang kata biar kita tenggelamkan mereka (di laut).

"Bayangkan itu berlaku kepada keluarga nabi," kata ahli parlimen Kota Raja itu di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan titah diraja.

"Jangan kita kita lupa sejarah. Kita jangan lupa Islam itu ditegakkan para pelarian, khasnya Nabi Muhammad, yang jadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah," katanya.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, berkata pelarian tidak seharusnya digambar secara buruk dan kategori pelarian seperti pencari suaka perlu dibezakan.

Sebagai contoh, katanya warga Rohingya yang melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka, sekurang-kurangnya harus diberi tempat tinggal sementara.

Mohamad juga mengatakan bahawa berita yang mendakwa bahawa sekumpulan pencari suaka Rohingya lemas berhampiran perairan Langkawi akan memalukan Malaysia sekiranya ia benar terjadi.

Sebanyak 26 pelarian Rohingya dikhuatiri lemas ketika berenang ke pantai di Langkawi.

Namun, hari ini diketahui bahawa mereka telah selamat setelah berhasil sampai ke sebuah pulau kecil yang berdekatan.

Mohamad berkata, kerajaan seharusnya memburu sindiket dan ahli perniagaan yang mendapat keuntungan dari memperdagangkan pendatang dan pelarian.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengatakan bahawa Malaysia tidak dapat mengambil lebih banyak pelarian ketika negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

Pandemik tersebut telah mencetuskan gelombang sentimen anti warga asing, termasuk terhadap pelarian kerana ketakutan mengenai virus itu merebak di kalangan rakyat di Malaysia.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 700 pelarian Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka di Kuala Lumpur sejak awal bulan ini.

Free Malaysia Today pula melaporkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memerintahkan tuan tanah untuk tidak menyewakan premis mereka kepada pendatang tanpa dokumen sejak hujung Mei.

Malaysia tidak menandatangani konvensyen pelarian PBB, yang menjadikan status pelarian tidak jelas di negara ini.

Tiada ulasan: