HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2020

PRK Slim: Calon Bebas Atau Parti Pembangkang, BN Perak Siap Sedia – Saarani

Oleh: Azman Abas



TANJUNG MALIM – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata pihaknya sudah bersedia untuk berdepan dengan calon yang akan diletakkan oleh mana-mana pihak untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pillihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

Tegas beliau tidak kiralah sama ada parti pembangkang mahu pun calon Bebas, pihaknya sudah mengambil langkah-langkah awal dalam usaha memastikan kerusi DUN berkenaan kekal di tangan BN.

“Kesiapsiagaan di semua peringkat saya yakin sudah berada pada tahap yang cukup tinggi dan kita cuma tunggu penamaan calon. Tidak kira siapa pun yang akan berlawan dengan kita sama ada parti atau calon bebas kita bersiap sedia. Budaya kerja kita bersiap sedia di semua peringkat sebelum penamaan, pada penamaan dan semasa tempoh berkempen serta hari mengundi kelak.

“Fasa ini fasa pra penamaan calon dan ada masa lebih kurang dua minggu semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan semua cawangan telah digerakkan dan hari ini salah satu daripadanya,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah PDM termasuk mengadakan pertemuan singkat bersama penduduk.

Saarani seterusnya menjelaskan jentera yang akan bergerak pada PRK DUN Slim nanti merupakan jentera yang telah diaktifkan sebelum ini lagi setelah terdapatnya ura-ura akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita memang telah membuat persiapan awal sebelum berlaku PRK ini pun… Perak telah buat penaziran ke bahagian-bahagian UMNO sebelum COVID-19 dan juga sebelum bertukarnya kerajaan setelah kita mengandaikan akan ada pilihan raya negeri tetapi dengan kehendak Allah swt tidak jadi PRN tetapi jadi PRK. Jadi jentera yang sama yang telah ditubuhkan sebelum ini akan digunapakai dan ubah suai sana-sini,” ujar ADUN Kota Tampan itu.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).- UMNO Online.- UMNO Online

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: