HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Ogos 2020

400 PATI Filipina diusir dari Sabah hari ini

FMT Reporters
Seramai 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir menerusi 
pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina. (Gambar MKN)

KOTA KINABALU: Seramai 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir dari Sabah tahun ini seramai 5,645 orang.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran hari ini adalah siri ke-23 melalui laut tahun ini dengan proses diselaraskan MKN bersama Jabatan Imigresen dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi lain.

“Kita juga memastikan semua tahanan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir dengan tahanan yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dulu.

Semua tahanan turut menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir. (Gambar MKN)

“Semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya terus komited melaksanakan pengusiran PATI dan semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan walaupun wabak Covid-19 belum berakhir.

Tiada ulasan: