HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2020

Bendera Perikatan Nasional di PRN Sabah hanya bahan kempen Wan Ahmad Fayhsal - Pemuda UMNO

Bendera Perikatan Nasional di PRN Sabah hanya bahan kempen Wan Ahmad Fayhsal - Pemuda UMNO
Asyraf turut menyanggah kenyataan Wan Ahmad Fayhsal guna jawatan untuk pastikan penyokong dapat 'imbuhan' kerajaan.

 KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menganggap kenyataan calon Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal bahawa bendera Perikatan Nasional (PN) akan digunakan di Pilihan Raya Negeri Sabah hanyalah gimik semata-mata.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan itu juga hanyalah bahan kempen untuk Timbalan Menteri berkenaan bertanding jawatan Ketua Armada dan tindakan itu mendahului keputusan pimpinan Bersatu.

“Di peringkat kepimpinan, kita jelas bahawa UMNO tak akan sertai PN dan PN adalah parti yang belum berdaftar. Mana mungkin nak jadi logo untuk bertanding bagi PRN Sabah yang sudah dibubarkan?

“Tapi kami katakan kepada Wan Ahmad Fayhsal, supaya lihat semangat dalam konteks kerajaan hari ini. Apa juga kenyataan nak dikeluarkan, jangan sampai melangkaui atau sehingga mengguris perasaan rakan rakan dalam kerajaan ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini media melaporkan, Wan Ahmad Fayhsal sebagai berkata, bendera biru gelap dengan tulisan ‘Perikatan Nasional’ akan digunakan sewaktu pilihan raya negeri .

Selain itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu juga dilaporkan sebagai berkata, Pas akan bersama dengan PN biarpun UMNO tegas tidak akan sertai usaha menubuhkan gabungan di bawah nama itu.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal mengenai isu ‘surat sokongan’ bagi mendapatkan imbuhan kerajaan adalah tidak wajar sama sekali.

“Saya ingin jelaskan dan tegaskan di peringkat Pemuda UMNO Malaysia,  kita sama sekali tidak mengizinkan atau tidak merestui sebarang bentuk usaha atau inisiatif atau guna pakai kedudukan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, untuk kita lakukan sesuatu bertentangan dengan prinsip undang-undang,” katanya lagi.

Jika ada ‘suara sumbang’ yang mengatakan itu budaya UMNO lama, Asyraf nmenegaskan, budaya itu sudah lama dibersihkan dalam tempoh 22 bulan UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi menerajui kerajaan Persekutuan.

Tiada ulasan: