KETIKA orang lain berebut kerusi untuk bertanding pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan kira-kira dua bulan
lagi, seorang calon Bebas menawarkan diri untuk dilamar oleh mana-mana
parti.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sugut,
James Ratib berkata, beliau yang kini calon Bebas sukar untuk berbuat
demikian pada PRN kelak.
Jika tiada parti yang berminat mungkin beliau akan
berehat daripada politik sekiranya tiada parti yang berminat menggunakan
khidmatnya untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Katanya, selepas keluar daripada Pertubuhan Kinabalu
Progresif Bersatu (Upko), beliau kini belum berparti dan masih menjadi
wakil rakyat Bebas, tetapi adalah mustahil baginya untuk bertanding atas
tiket Bebas.
“Jika ada parti yang berminat untuk menggunakan khidmat
saya di Sugut sudah pasti saya kan mempertimbangkan untuk bertanding,
tetapi sekiranya tiada, maka saya tidak akan bertandinglah.
“Sebenarnya banyak juga (parti) yang tawar, tapi saya
belum buat keputusan kerana jika ia dibuat terburu-buru nanti akan
mengecewakan rakan yang lain,” katanya lapor FMT, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
hantarannya di Facebook yang menyatakan beliau mengucapkan selamat
tinggal kepada arena politik.
Dalam hantarannya itu, James memuat naik gambar beliau
yang berlatar belakangkan pokok durian dengan mesej “Selamat tinggal
politik, berebutlah kamu jadi YB”.
James berkata, hantarannya itu bukanlah bermaksud beliau menyerah kalah daripada politik kerana ia mempunyai maksud tersirat.
“Saya masih mempunyai sokongan kuat di Sugut dan saya
calon ‘winnable’, tetapi jika tiada parti yang berminat maka saya
berehatlah,” katanya.
James sebelum ini adalah penyandang kerusi DUN Sugut
selama dua penggal selepas memenanginya pada pilihan raya umum Ke-13
(PRU-13) dan 14.
Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kawasan itu dengan majoriti sebanyak 1,521.
Sugut menewaskan tiga calon lain, iaitu daripada
Warisan, Aspah Abdullah Sani, Mohd Arshad Abdul (Parti Perpaduan Rakyat
Sabah), dan Ag Osman Asibih (Parti Kebangsaan Sabah).
Bagaimanapun, selepas kejatuhan kerajaan BN yang
dipimpin Musa Aman, beliau keluar parti dan menyertai Upko untuk bersama
kerajaan baru Sabah, ketika itu.
James juga adalah antara wakil rakyat terawal yang
keluar parti kerajaan pimpinan Warisan bersama-sama seorang naib
presiden Upko yang juga Adun Kuala Penyu, Limus Jury untuk menyokong
kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau dilihat bersama-sama dengan sekumpulan Adun lain
yang menyatakan sokongan kepada Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan
negeri, minggu lalu.
Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila ketua menteri,
Mohd Shafie Apdal, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun)
Sabah pada Khamis bagi membolehkan PRN diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan