HARAKAH DAILY
DEWAN Pemuda PAS Malaysia meneliti dengan serius
perkembangan yang berlaku di antara parti-parti yang berada di dalam
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini, terutama sekali beberapa
siri kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dasuki berhubung isu
penggunaan bendera BN, penyertaan PPBM dalam Muafakat Nasional (MN) dan
pendaftaran Perikatan Nasional.
Pemuda PAS berpandangan bahawa
Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional ialah manifestasi daripada
rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan
Harapan selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya Kerajaan PH
pada bulan Februari yang lepas. Ia berlaku apabila Tun Dr Mahathir
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri
Muhyiddin Yasin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu.
Rata-rata
rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di
bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Ditambah dengan suasana pandemik
COVID-19 pada hari ini, kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan
cerita-cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi
hidangan untuk mereka sekeluarga di atas meja. Dengan isu pekerja
kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang
membimbangkan dan pelbagai isu yang berlaku, adalah sangat tidak sesuai
untuk rakyat dihidangkan dengan pertembungan di antara parti-parti yang
sama-sama mendukung kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemuda PAS menyeru semua pimpinan parti di dalam kerajaan, bawalah pandangan ke meja rundingan, tidak perlu berdebat secara terbuka yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat, dan keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukannya hanya bersifat kepentingan peribadi.
Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda PAS mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
*AHMAD FADHLI SHAARI=Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan