MALAYSIAKINI
Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari, menyifatkan presidennya, Muhyiddin Yassin, sebagai seorang 'nakhoda' yang sangat hebat, malah mendapat pengormatan dari seluruh dunia.
Justeru, katanya, tidak ada sebab untuk ahli-ahli Bersatu meninggalkan sebuah parti yang kini menerajui negara ini.
"Mengapa kita terjun dari kapal yang dibawa oleh seorang nakhoda hebat, seorang yang berkemampuan membawa bahtera parti menuju ke destinasi gemilang?
"Ahli seharusnya bersama membantu dan menyokong parti dan perdana menteri supaya beliau dapat meneruskan tugas dengan lebih gigih serta berjaya," katanya seperti dilaporkan SH Online hari ini.
Difahamkan dia berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebahagian daripada ahli Bersatu yang meninggalkan parti berkenaan selepas bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman untuk menubuhkan parti baru.
Abdul Rashid yang juga Adun Selat Kelang di Selangor berkata, seluruh ahli akar umbi sepatutnya berbangga kerana mempunyai seorang perdana menteri yang menerajui kerajaan pusat ketika ini adalah daripada parti tersebut.
Katanya, kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang merupakan tokoh dihormati dan disukai sememangnya tidak dapat disangkal.
"Kita seharusnya bersyukur kepada Allah kerana parti kita (Bersatu) turut menerajui kerajaan persekutuan. Bahkan perdana menteri adalah dari parti Bersatu yang menunjukkan kehebatan dan kewibawaan beliau dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19).
"Beliau mendapat pujian atas kecemerlangannya bukan sahaja di Malaysia malah dipuji dan menerima penghormatan daripada ramai pemimpin dunia," katanya dipetik sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan