HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2020

Najib sindir Shafie isu SESB

 Kasthuri Jeevendran


Shafie-681x524

KOTA KINABALU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung rundingan pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Walaupun tidak ada perincian dan tanpa menyebut nama namun jelas sekali Najib menyindir Mohd Shafie.

Ini kerana beliau berkongsi sebuah artikel berkaitan SESB di sebuah portal dengan pendedahan di buat oleh bekas Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua yang dulunya PKR kemudian di pecat baru-baru ini.

Kenny yang merupakan Naib Pengerusi PKR dipecat kerana menyertai kem bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman baru-baru ini.

Tulis Najib di laman sosial Facebook beliau, akhirnya ‘orang’ sendiri membongkarkan penipuan berhubung rundingan SESB itu.

“Orang dia juga yang bongkarkan penipuan dia,” tulisnya ringkas.

Mohd Shafie sebelum ini dengan segera tampil menuding jari kononnya pengambilalihan SESB terganggu selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Persekutuan awal tahun ini.

Bagaimanapun dakwa Kenny pula, tindakan Mohd Shafie menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional adalah salah kerana pengambilalihan sepatutnya sudah berlaku sekiranya kerajaan negeri mengendalikan rundingan itu dengan baik dan lancar.

Dakwa Kenny, rundingan masih berjalan sewaktu Mohd Shafie mengadakan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir dan beberapa syarat perlu ditangani oleh kerajaan belum diselesaikan.

“Tidak mungkin TNB tidak melepaskan SESB sekiranya anda boleh menyelesaikan perkara itu atau jika anda memenuhi syaratnya. TNB adalah sebuah syarikat persendirian walaupun ia dimiliki oleh kerajaan. Terdapat terma dan syarat yang perlu dipenuhi.

“Jadi kenapa anda kata ia tertangguh kerana Perikatan Nasional?” soalnya.

Kata Kenny lagi, Mohd Shafie sebenarnya tidak konsisten dalam membuat keputusannya.

Beliau juga mendedahkan terdapat hutang yang ditanggung oleh SESB sejak sekian lama dan perlu diwarisi oleh kerajaan negeri.

Jelasnya Sabah tidak mampu menanggung syarikat yang berhutang tanpa sokongan dan penyertaaan kerajaan pusat. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: