HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Ogos 2020

PRN Sabah: Bersatu jangan mimpi nak bertanding 45 kerusi – Shahril

Wartawan MalaysiaGazette
MGF17102019_FORUM-KELANGSUNGAN-MEDIA-CETAK_23-681x454
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – “Jangan Mimpi,” kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengenai hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu bertanding di 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Malah beliau mencadangkan kepada Bersatu Sabah ‘Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat’.

“Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

“Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini berkata, parti itu bersedia untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Katanya, Bersatu Sabah akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan boleh menang bagi memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN itu.

Menurut Shahril, UMNO mempunyai cita-cita berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, namun cita-cita itu disulami kebijaksanaan dengan mengambil langkah menghormati proses perundingan.

“Saya yakin Dato’ Sri Bung Moktar dan pasukan UMNO Sabah bijak mengurus lanskap terbaru ini,” ujarnya.

Tambah beliau, keutamaan diberikan untuk memperkasa agenda rakyat di Sabah disamping memperjuang maruah UMNO Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya yang setia, tatkala ramai lain memilih jalan mudah dahulu.

Bagi Bersatu Sabah beliau mensihatkan supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi, dan tia idak terhad ke Sabah sahaja. – MalaysiaGazette

* PRN Sabah: Bersatu sedia tanding 45 kerusi – Hajiji Noor

Tiada ulasan: