HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Ogos 2020

Tidak bijak BN bertanding sendiri, kata penganalisis

Penganalisis berkata, dengan Umno, PAS dan PPBM menyasarkan 
undi orang Melayu, pertandingan banyak penjuru akan 
menghakis kekuatan Umno.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik mempersoal cadangan supaya Barisan Nasional (BN) memasuki pilihan raya umum akan datang secara bersendirian dengan berkata, langkah itu hanya akan melemahkan kekuatan Umno.

Azmi Hassan dari Universiti Tekonologi Malaysia berkata, nilai jenama BN semakin merosot sejak kebelakangan ini.

“Justeru tidak bijak untuk bertanding sendiri, melainkan mereka mahu kekal sebagai pembangkang.”

Pakar politik Wong Chin Huat dari Pusat Jeffrey Sachs mengenai Pembangunan Mampan berkata, tiada sebuah parti atau gabungan politik yang mempunyai cita-cita kebangsaan mampu bertanding sendiri dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Umno perlu memasuki pilihan raya bersama-sama PAS di kawasan majoriti Melayu kerana hanya demikian ia boleh menjamin kejayaannya.

Azmi Hassan

Azmi berkata, sekiranya Umno dan BN bertanding bersendirian, maka ia perlu berdepan dengan PAS dan PPBM kerana kedua-dua parti menyasarkan kelompok pengundi Melayu-Islam yang sama.

Pertandingan banyak penjuru akan melemahkan kekuatan Umno, katanya.

“Walaupun Umno merupakan parti yang lebih kuat berbanding PAS, tetapi bertanding bersendirian tidak akan menghasilkan apa-apa,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, parti komponen BN, iaitu MCA dan MIC mesti diperkuatkan terlebih dahulu sebelum gabungan itu bertanding sendiri.

Turut memburukkan keadaan ialah keengganan parti di Sabah untuk menyertai BN, tidak seperti sebelum ini.

Wong Chin Huat

BN perlu mewujudkan gabungan yang lebih besar, yang turut merangkumi parti dari Malaysia Timur untuk menubuhkan kerajaan.

“Sepuluh tahun lepas ia boleh bertanding bersendirian, tetapi jenama BN semakin merosot sejak kebelakangan ini. Justeru tidak bijak berbuat demikian, melainkan mereka mahu kekal menjadi pembangkang,” katanya.

Komen Azmi merupakan respons terhadap cadangan ketua penerangan BN Selangor Isham Jalil yang berkata, Umno dan BN harus bersiap-siap untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 secara bersendirian.

Isham berkata, mana-mana parti yang bersekutu dengannya boleh menarik diri pada bila-bila masa dan BN tidak boleh menghalang mereka.

Wong Chin Huat berkata, parti politik perlu membuat sekurang-kurangnya perjanjian tidak rasmi dengan parti lain untuk menamakan calon bersama bagi menghindari undi pecah.

Oh Ei Sun 

“Bertanding menentang PAS pasti melukakan, dan menentang PPBM bakal menambah luka itu.”

Bagaimanapun Wong berkata, pilihan raya umum ke-15 hampir pasti menatijahkan Parlimen tanpa majoriti dan parti yang bersaing perlu membentuk gabungan pasca pilihan raya bagi menubuhkan kerajaan.

Pilihan terbaik bagi BN ialah memastikan ia muncul sebagai gabungan politik “yang menarik” sebagai rakan sekutu untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan.

Beliau berkata, Umno tidak seharusnya merosakkan hubungan dengan mana-mana pihak, sekali gus menjadikan gabungan pasca pilihan raya sukar dibentuk.

“Mereka juga perlu memastikan ahli Parlimen mereka tidak melompat untuk menyertai blok lain susulan janji jawatan menteri, kuasa dan imbuhan lain.”

Oh berkata, Umno hanya akan memenangi “kerusi yang sedia dikuasainya” sekiranya ia memutuskan untuk bertanding secara bersendirian.

Tiada ulasan: