HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2020

Uji undang-undang lompat parti P Pinang dahulu, Takiyuddin saran PH

 Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pakatan Harapan yang mentadbir Pulau Pinang disaran menguji undang-undang lompat parti negeri itu di mahkamah terlebih dahulu, bagi ditentukan apakah akta seperti itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, Perlembagaan perlu dipinda bagi membolehkan akta yang menggugurkan ahli Parlimen daripada kerusinya dibuat, kerana Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan.

“Maknanya kita kena pinda dulu perlembagaan dengan menyatakan bahawa tidak boleh bebas untuk persatuan. Barulah tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Selepas itu, barulah kita boleh buat undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain pindaan Perlembagaan, Takiyuddin berkata pelaksanaan akta anti lompat parti juga memerlukan sistem pilihan raya sedia ada ditukar dan undang-undang berkaitan dipinda.

Takiyuddin mengingatkan kerajaan mentadbir berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan, oleh itu mengugurkan wakil rakyat atas sebab berhijrah parti tidak boleh dilakukan sama sekali.

“Kita cari jalan lain…dan untuk lebih adil kita tunggu kes Pulau Pinang dahulu,” katanya, merujuk kepada 4 ahli Dewan Undangan Negeri yang berhijrah baru-baru ini.

Mereka ialah Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq; Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim; Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin; dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

Takiyuddin mencadangkan kerajaan Pulau Pinang cuba mengosongkan kerusi mereka itu.

“Biar mereka bawa kes ini ke mahkamah dan mahkamah akan tentukan keputusan ini. Selepas itu kerajaan akan kaji sama ada akan wujudkan Anta Anti Lompat Parti ini,” katanya.

Isu lompat parti hangat diperkatakan ketika ini dan majoriti wakil rakyat mendesak serta menggesa Parlimen untuk menggubal Rang Undang-undang bagi menghalang Adun atau ahli Parlimen berhijrah tanpa alasan munasabah.

Tiada ulasan: