HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 September 2020

Bekas penasihat SPRM gesa pengundi Sabah pilih calon bebas skandal

Robert Phang simpati dengan pengundi Sabah kerana parti politik 
di kedua-dua pihak mencalonkan individu yang menghadapi 
pertuduhan jenayah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggesa pengundi Sabah memilih calon “bebas skandal” pada Pilihan Raya Negeri 26 Sept ini.

Robert Phang, yang pernah berkhidmat dengan Lembaga Penasihat SPRM, berkata beliau simpati dengan pengundi Sabah kerana parti politik di kedua-dua pihak mencalonkan individu yang sedang menghadapi pertuduhan jenayah.

“Mana-mana orang biasa yang berfikiran wajar akan merasakan ‘lucu’ kerana individu yang menghadapi perbicaraan boleh dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya,” kata aktivis sosial itu.

“Adakah Sabah amat kekurangan bakat sehingga tiada calon lain? Pengundi perlu menghalang calon sedemikian dengan tidak mengundi mereka tanpa mengira parti mana yang mereka wakili.”

Parti politik daripada kedua-dua pihak memilih beberapa calon yang sedang menghadapi perbicaraan rasuah.

Phang turut bimbang dengan politik wang dan menggesa pihak berkuasa memantaunya sepanjang kempen pilihan raya.

“Parti juga patut bertanding dengan beretika dan tidak menggunakan tempoh berkempen sebagai pelindung untuk membuat dakwaan tidak berasas.

“Tidak kira siapa anda atau siapa lawan anda, jika anda mempunyai bukti sebarang salah laku, laporkan kepada pihak berkuasa.”

Beliau mengulas dakwaan Presiden Warisan, Shafie Apdal terhadap bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dan adiknya, Anifah.

Ketika berkempen, Shafie dilaporkan mendakwa Musa dan Anifah menawarkan kira-kira 700,000 ekar tanah hutan simpan kepada “rakan dan ahli keluarga”.

Anifah yang juga bekas menteri luar dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan Shafie.

Phang berkata, pengundi Sabah kini mempunyai peluang memilih Adun mereka dan perlu menyokong calon berwibawa, bukannya hanya mengundi untuk parti.

“Kita sudah melihat perubahan dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

“Orang ramai perlu menyedari kuasa undian mereka, mereka boleh memilih orang baik berkuasa. Di kedua-dua pihak, ada calon baik dan tidak baik, undi mereka yang mempunyai rekod prestasi baik.

Tiada ulasan: