HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2020

Isu Injil: Majlis antara agama gesa PM bertindak

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diingatkan kenyataan seperti 
dikeluarkan ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi 
Salleh tidak boleh diterima.

PETALING JAYA: Majlis antara agama menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak terhadap penggunaan agama yang boleh memecahbelahkan negara, susulan kenyataan kontroversi ahli Parlimen PAS mengenai kitab Injil baru-baru ini.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh melampau kerana beliau stereotaip terhadap agama itu.

Katanya, ketegangan agama akan terus meningkat jika kenyataan itu dimaafkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), sambil menambah perkara itu harus ditangani.

“MCCBCHST meminta perdana menteri menunjukkan kepemimpinan moral dengan membuat kenyataan melarang ahli politik menggunakan agama untuk memecahbelahkan negara.

“Speaker Dewan Rakyat juga memikul tanggungjawab bagi semua rakyat melarang ahli politik menyentuh soal agama selain daripada perbahasan mereka.

“Jika tiada apa dilakukan, kerajaan sekarang akan memikul tanggungjawab penuh menghancurkan keharmonian agama yang berfungsi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis itu berkata, kenyataan Zawawi berbahaya dan tidak boleh diterima, dan tidak boleh membenarkan ahli politik tidak bertanggungjawab membina permusuhan dengan memperlekehkan agama lain.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh presidennya Archbishop Julian Leow Beng Kim, Majlis Gurdwaras Malaysia Sadar Jagir Singh, Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan, Gabungan Persatuan Tao Malaysia Dao Zhang Tan Hoe Chieow dan Persatuan Budha Malaysia Venerable Sing Kan.

Pada 26 Ogos lalu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol, Zawawi mendakwa kitab Injil sudah dipesongkan atau diubah.

Tiada ulasan: