HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 September 2020

Jangan fokus belia, Malaysia perlu parti politik baharu tanpa had usia

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
MGF19022020_PERASMIAN-BANGUNAN-BAHARU-IYC_11-681x454
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PENGHARGAAN perlu diberikan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diatas usahanya untuk menubuhkan sebuah parti politik baru yang memberi tumpuan kepada golongan belia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Namun, Malaysia juga perlukan sebuah parti politik baru yang boleh meliputi bukan sahaja golongan belia yang terdiri daripada pelbaga kaum malah meliputi semua lapisan masyarakat tanpa
mengira had usia mereka.

Apa yang Malaysia perlukan juga adalah sebuah parti parti politik yang benar-benar baharu dan bebas daripada sebarang pengaruh daripada parti politik sedia ada dalam negara kita.

Usaha mengenai penubuhan sebuah parti politik baharu dalam negara kita bukanlah satu usaha atau perkara yang baru.

Hampir setiap tahun semenjak negara kita mencapai kemerdekaannya, pelbagai cadangan telah dikemukakan dan usaha dilakukan oleh sesetengah pihak bagi mewujudkan sebuah parti politik baru bagi menandingi parti-parti politik sedia ada yang ada dalam negara kita selama ini.

Ini selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan berpolitik yang diamalkan didalam negara kita selama ini.

Perkara 10(1) dalam Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kebebasan setiap warganegara untuk bercakap, berhimpun serta berpersatuan.

Berpersatuan di sini turut meliputi kebebasan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Namun penubuhan parti politik ini hendaklah mengikut segala proses dan syarat undang-undang yang
telah ditetapkan dalam negara kita.

Di bawah perundangan terkini, semua parti politik (juga “Persatuan Politik”) harus didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Jabatan ROS ini adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengendalikan pertubuhan- pertubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Mengikut akta yang dinyatakan di atas, sesuatu pertubuhan adalah ditakrifkan sebagai termasuk mana- mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh atau lebih orang sama ada sementara atau kekal, tidak ditubuhkan atau didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Pendaftaran sesebuah pertubuhan boleh dibatalkan diatas beberapa faktor tertentu seperti penubuhan pertubuhan berkenaan yang didapati bertentangan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam atau akhlak negara dan lain-lain lagi.

Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya sesebuah parti politik baru ingin ditubuhkan berasaskan belia atau berasaskan sesuatu kaum ataupun berasaskan pelbagai kaum dalam negara kita.

Namun, adakah ini yang benar-benar diinginkan oleh rakyat Malaysia pada ketika ini?

Rata-rata rakyat sudah merasa bosan dengan segala drama politik yang berlaku pada ketika ini dikalangan parti- parti politik sedia ada yang sudah lama bertapak di dalam tanah air kita.

Rata-rata dalam kalangan rakyat juga mereka juga ingin mencari sebuah parti politik baru yang benar-benar boleh memberi harapan baru, tumpuan sepenuhnya terhadap segala keresahan dan rungutan mereka serta menghulurkan bantuan.

Sekiranya sesebuah parti politik baru ditubuhkan hanya berasaskan golongan usia tertentu ditubuhkan, adakah suara keseluruhan rakyat Malaysia dapat didengari kelak? Sudah pasti parti politik yang berasaskan belia akan hanya melibatkan golongan belia.

Walaupun parti politik ini boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada semua lapisan usia, namun sukar untuk memikirkan parti yang berasaskan belia ini benar-benar dapat mewakili suara dan hati dari masyarakat secara keseluruhannya tanpa mengira had usia mereka.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu parti politik baru dapat ditubuh yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam negara kita yang boleh dibuka sepenuhnya kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira had usia mereka.

Penubuhan sebuah parti politik yang baru yang boleh dianggotai oleh semua lapisan masyarakat tanpa had usia ini dilihat penting supaya tiada lapisan masyarakat dalam negara kita yang rasakan diri mereka terpinggir dan tidak dapat peluang dan ruang untuk berpolitik dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.- MalaysiaGazette

* Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tiada ulasan: